Mekanik antara dua ditahan berlumba haram di Lebuhraya DASH

Rakaman CCTV yang tukar di media sosial memaparkan beberapa Proton Satria dipandu secara melawan arus dan berlumba berhampiran sebuah Plaza Tol di Lebuhraya DASH pada Ahad.
Rakaman CCTV yang tukar di media sosial memaparkan beberapa Proton Satria dipandu secara melawan arus dan berlumba berhampiran sebuah Plaza Tol di Lebuhraya DASH pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang mekanik antara dua individu diberkas dipercayai terlibat dalam lumba haram melibatkan enam buah kereta jenis Proton Satria di Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi pada Ahad.

Menurutnya, kejadian tersebut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Siasatan dijalankan mendapati enam buah Proton Satria melakukan aksi berlumba bermula dari Plaza Tol Denai Alam sehingga susur ke Pulau Angsa Lebuhraya DASH dan berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam.

"Dua suspek berumur antara 20 sehingga 29 tahun dipercayai terlibat dalam perlumbaan ini telah diberkas selain kereta yang dimiliki kedua-dua suspek dirampas," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, pihaknya masih menjalankan usaha mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Usaha mengesan individu lain yang terlibat masih dijalankan bagi siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata beliau.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767.

Pada Ahad, tular video di media sosial memaparkan rakaman CCTV sekumpulan individu memandu Proton Satria secara melawan arus dan berlumba berhampiran sebuah Plaza Tol di Lebuhraya Damansara-Shah Alam di sini.