Rakyat memerhati prestasi kerja Kerajaan Perpaduan

Anwar (duduk, tengah) bergambar bersama barisan Jemaah Menteri.
Anwar (duduk, tengah) bergambar bersama barisan Jemaah Menteri.
A
A
A

MENITI usia 100 hari pentadbiran, rakyat masih memerhati dan menilai prestasi kerja jemaah menteri.

Jadi, mereka tidak harus leka sebaliknya terus cakna dengan isu yang membelenggu rakyat.

Walaupun ada yang tersenarai dan dipilih menjadi 10 menteri yang menunjukkan prestasi baik sehingga menjadi pilihan rakyat, ia bukanlah tiket untuk mereka mendabik dada.

Sebaliknya, ia perlu menjadi pemangkin untuk menteri yang terlibat agar bekerja lebih keras dalam mentadbir negara.

Antara 10 orang menteri tersebut, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendapat undian tertinggi dengan prestasi kerja yang memberangsangkan.

Kesungguhannya dalam kerja memantau setiap sektor pengangkutan awam di Malaysia, jelas menunjukkan Anthony mahu memberikan yang terbaik buat rakyat.

Anthony dalam reaksi awalnya, menyatakan hasrat mahu melihat lebih ramai rakyat dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam.

Dalam pada itu, para menteri juga diingatkan agar tidak terus terleka dengan populariti, sebaliknya perlu memainkan peranan agar aspirasi kerajaan berjaya ditonjolkan.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menjadi tumpuan memandangkan beliau memperjuangkan agenda reformasi dan sudah pasti, rakyat ternanti-nanti perubahan yang dibuat.

Walaupun begitu, rakyat tidak seharusnya 'menghukum' jemaah menteri, sebaliknya memberi peluang kepada mereka membuktikan kesungguhan dalam mentadbir negara, seperti yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) lalu.