Ahmad Maslan lawan Hasni jawatan Ketua UMNO Pontian

Ahmad (kiri) akan melawan Hasni bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian pada pemilihan akan datang. - Foto Awani
Ahmad (kiri) akan melawan Hasni bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian pada pemilihan akan datang. - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan akan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian pada pemilihan akan datang.

Jawatan tersebut ketika ini disandang oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad.

"Di (peringkat) bahagian, saya akan berlawan persahabatan dengan Hasni, beliau Ketua Bahagian sudah lebih 20 tahun.

"Jadi saya kira, saya ingin menawarkan diri supaya difikirkan oleh perwakilan untuk bahagian Pontian," katanya pada sidang media Parlimen pada Isnin.

Selain itu, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau tidak akan merebut jawatan Naib Presiden walaupun ada pihak yang mahukan beliau mencabar jawatan berkenaan.

Sebaliknya, Ahmad berkata, beliau akan mempertahankan kedudukannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dimenanginya pada pemilihan 2018.

Jelasnya lagi, keputusan itu juga dibuat kerana tidak mahu memecahkan undi perwakilan Johor yang kini menyaksikan tiga calon dari negeri berkenaan bertanding merebut jawatan tersebut.

"Di utara sudah ada Tok Det (Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid), di tengah ada Datuk Joe (Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani), Pahang ada seorang (Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail).

"Cukuplah sekadar itu, saya tak perlu menambah jadi empat bagi Johor, nanti seorang pun tak menang," katanya lagi.

Sehingga pencalonan ditutup semalam, tujuh calon mengesahkan bertanding bagi merebut tiga kerusi Naib Presiden pada pemilihan UMNO.

Tujuh pemimpin itu termasuk dua penyandang, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir.

Turut bertanding ialah Johari, Hasni; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Wan Rosdy. - Awani