Mahdzir menang tanpa tanding Ketua UMNO Padang Terap

Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap pada pemilihan parti kali ini.

Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, Padang Terap merupakan satu-satunya UMNO Bahagian yang tiada pertandingan manakala 14 lagi bahagian menyaksikan pertandingan sengit antara dua hingga empat penjuru.

Menurutnya, lima calon pula membuat kemunculan semula di lima bahagian, iaitu bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar, Datuk Abd Rahman Ariffin (Jerlun), Datuk Johari Baharom (Kubang Pasu), Datuk Abd Rahim Saad (Sungai Petani) serta Abdul Rahman Ahmad di Padang Serai.

“Seramai 37 calon menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian, 34 adalah Timbalan Ketua Bahagian dan seramai 36 calon merebut jawatan Naib Ketua Bahagian.

“Jawatan Ketua Pemuda pula menyaksikan 18 calon, diikuti Ketua Wanita dan Ketua Puteri masing-masing 15 calon selepas pencalonan ditutup petang Ahad,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Kedah di sini pada Isnin.

Ariffin berkata, pertandingan empat penjuru berlaku di Kuala Kedah, Jerai dan Jerlun bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian.

“Di Jerai, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dicabar tiga lagi calon, iaitu Khairul Nizam Mohd Rodzi, Datuk Ikmal Ismail dan Datuk Mohd Fadzillah Mohd Ali.

“Jerlun pula menyaksikan penyandangnya, Datuk Othman Aziz akan ditentang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah, Datuk Abd Rahman Ariffin.

“Kuala Kedah yang sebelum ini kosong setelah kematian penyandangnya dan dipangku oleh Dr Zaki Zamani Abd Rashid tawarkan diri bertanding dan dicabar Datuk Abdul Mutalib serta dua lagi calon,” ujarnya

Menurutnya lagi, antara bahagian yang berdepan dua penjuru ialah di Langkawi, antara Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Nor Saidi Nanyan.

“Di Alor Setar menyaksikan Ahmad Bashah dicabar oleh Zambri Mat, selain Kubang Pasu antara Johari dan bekas Exco Kedah, Datuk Aminuddin Omar. Bahagian lain termasuk di Kulim, Merbok dan Sungai Petani,” ujarnya.

Ariffin berkata, Timbalan Ketua Bahagian yang menang tanpa bertanding ialah di Pokok Sena, Alor Setar, Baling dan Padang Terap.

“Naib Ketua Bahagian di Pokok Sena dan Alor Setar turut menang tanpa bertanding. Bagi jawatan Ketua Wanita menyaksikan sembilan bahagian diumumkan menang tanpa bertanding, iaitu di Langkawi, Alor Setar, Pendang, Jerai, Sik, Merbok, Sungai Petani, Baling dan Padang Serai,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Ketua Pemuda yang menang tanpa bertanding ialah di Padang Terap, Alor Setar, Pendang, Jerai, Padang Serai dan Baling.

“Tujuh bahagian menyaksikan Ketua Puteri menang tanpa bertanding, Iaitu di Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Jerai, Sik, Baling dan Padang Serai,” katanya.

Dalam pada itu, Ariffin menyifatkan amalan demokrasi dalam parti masih subur sehinggakan begitu ramai calon-calon tampil menawarkan diri untuk bertanding.

“Lebih 95 peratus daripada semua cawangan berjaya mengadakan persidangan dan menepati perlembagaan yang ditetapkan. Malah lebih 30 peratus adalah muka-muka baharu, menunjukkan ada perubahan di peringkat cawangan.

“Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) diuji dalam PRU15 lepas yang mana Kedah tidak bernasib baik kerana tiada satu pun kerusi Parlimen berpihak kepada kita, namun sambutan dalam pemilihan kali ini memberangsangkan,” katanya.

Menurutnya lagi, secara keseluruhannya, 40 peratus calon-calon yang bertanding pimpinan tertinggi di peringkat bahagian menampilkan muka-muka baharu.

“Gandingan antara muka baharu dan profesional selain mereka yang berpengalaman diketengahkan untuk perwakilan membuat pilihan bagi menentukan pimpinan baharu yang akan mengemudi bahagian masing-masing,” katanya.

Terdapat 2,235 cawangan UMNO di seluruh negeri Kedah yang mana lebih 9,000 perwakilan akan membuat pilihan di 15 bahagian masing-masing pada 11 Mac depan.