Aizat Fikri tanding Exco Pemuda, Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus

Aizat Fikri
Aizat Fikri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Aizat Fikri Mohd Nasir menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus dan Exco Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan UMNO tidak lama lagi.

Aizat Fikri berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keadaan UMNO sekarang yang semakin kehilangan sokongan terutama daripada kalangan orang-orang muda.

“Penyertaan saya dalam kepimpinan tertinggi UMNO ini adalah satu langkah semak dan imbang yang sihat di dalam parti.

“Saya juga ingin memastikan suara akar umbi dapat dibawa hingga ke peringkat tertinggi parti walaupun ia datang daripada seorang ahli biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut Aizat Fikri, beliau mahu memastikan tiada lagi anasir tidak sihat dibawa dan menjadi budaya dalam parti termasuk tindakan melanggar perlembagaan serta peraturan parti.

“Hala tuju perjuangan saya adalah berpaksikan agenda memulih dan #binasemulaUMNO,” katanya.