Ladang hutan: MB Perak sembah maklum kepada Sultan Nazrin

Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan penanaman pokok sempena Majlis Perasmian Sistem Amaran Awal Kepala Air dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Bagi Tahun 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya di sini pada Isnin.
Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan penanaman pokok sempena Majlis Perasmian Sistem Amaran Awal Kepala Air dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Bagi Tahun 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah disembah maklum berhubung isu projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong, Kuala Kangsar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi sembah maklum kepada baginda, pihaknya menjelaskan pelaksanaan pembangunan ladang hutan di kawasan tersebut mengikut peraturan ditetapkan.

Menurutnya, pembangunan ladang hutan memang dibenar untuk dilaksanakan sehingga 100,000 hektar tetapi kerajaan negeri Perak hanya membenarkan kawasan seluas 32,000 hektar untuk projek tersebut.

"Di HSK Kledang Saiong itu sebelum ini sudah ada ladang hutan yang dibuat, jadi ini bukanlah perkara yang di luar jangka atau pelik berlaku. Kena ingat isu yang sedang dihebohkan ini melalui proses pendengaran awam jadi orang ramai boleh memberi maklum balas kepada kerajaan negeri.

"Kita pun tertakluk kepada keputusan EIA (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar) Jabatan Alam Sekitar. Jika Jabatan Alam Sekitar mengatakan ia tak boleh dibuat kerana risiko banjir, kita tak buatlah. Takkan kita nak langgar, tapi kalau tak ada, kita boleh teruskan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sistem Amaran Awal Kepala Air dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Bagi Tahun 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya di sini pada Isnin.

Saarani berkata, hanya 6,000 hektar kawasan baki terakhir yang telah diluluskan pada tahun lalu untuk dibenarkan bagi tujuan projek pembangunan ladang hutan tersebut.

"Saya ingat Perak ini di antara negeri yang terbaik dari segi pengurusan hutan. Kita tidak melebihi kuota yang dibenarkan dan kita buat secara berhemah, ikut peraturan, ikut prosedur.

"Saya faham NGO (pertubuhan bukan kerajaan) punya perasaan. Kita cuba sedaya upaya untuk tidak menjadikan projek ladang hutan ini menjadikan negeri kita hilang hutan dan sebagainya, semua proses kita ambil kira," katanya.

Sementara itu dalam ucapan pada majlis berkenaan, Saarani menjelaskan kerajaan negeri menyasarkan sejumlah 10 juta pokok atau 2 juta pokok setahun ditanam di seluruh negeri sepanjang lima tahun tempoh pelaksanaannya bermula pada tahun 2021.

Jelasnya, pada tahun 2021, kerajaan negeri berjaya menanam melebihi sasaran iaitu 2.17 juta pokok dengan keluasan 5,568.01 hektar diikuti 2.33 juta pokok pada tahun 2022 dengan keluasan 6,152 hektar di seluruh Negeri Perak.

Pada 17 Februari lalu, lapan NGO menyerahkan memorandum bantahan cadangan projek pembangunan ladang hutan berkeluasan 4,280 hektar di HSK Kledang Saiong kepada wakil Pejabat Sultan Perak.

Memorandum ditandatangani 150 orang itu diserahkan di luar pekarangan Pejabat Sultan Perak di Bukit Chandan, di sini bagi memohon campur tangan Sultan Nazrin agar projek ladang monokultur itu dibatalkan.

Memorandum tersebut melibat Pertubuhan Komuniti Sejahtera Aman Perak, Sahabat Alam Malaysia, Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak, Persatuan Aktivis Sahabat Alam, Pemerhati Lembah Kinta, Jawatankuasa Bertindak Kampung Rambai Tujuh, Parti Hijau Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia.