Hala tuju MySejahtera ditentukan dalam masa terdekat

Kerajaan menyasarkan untuk mengangkat aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara. - Foto Bernama
Kerajaan menyasarkan untuk mengangkat aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hala tuju sama ada aplikasi MySejahtera akan diangkat sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara akan ditentukan dalam masa terdekat susulan kontrak perolehan pengurusan aplikasi tersebut akan tamat pada 31 Mac ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, kementerian telah mengadakan rundingan dengan Syarikat MySJSdn Bhd dan hasilnya rundingan tersebut akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

Menurutnya, sebarang tambahan kos bagi pengurusan aplikasi berkenaan selepas kontrak berakhir juga akan ditentukan.

"Kerajaan menyasarkan untuk mengangkat aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara di mana kita akan jadikan aplikasi ini sebagai satu data raya di hujung jari dan semua maklumat-maklumat berkenaan kesihatan akan digunakan untuk melihat hala tuju kesihatan daripada segi mendapatkan bajet dan juga menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan rakyat.

"Pembentangan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat dengan hala tuju adakah kerajaan akan mengangkat MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara atau hala tuju lain.

"MySejahtera juga akan melibatkan kos, dan kos ini akan kita tentukan selepas kontrak tamat pada 31 Mac 2023," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH - Bandar Kuching) yang meminta menteri Kesihatan menyatakan tentang perincian hasil rundingan Kementerian dengan Syarikat MySJSdn. Bhd. untuk membeli MySejahtera dan pelan Kementerian untuk mengoptimasikan penggunaan MySejahtera.

Lukanisman berkata, kesemua modul di bawah aplikasi MySejahtera adalah milik kerajaan dan hak milik aplikasi serta data MySejahtera yang meliputi hak harta intelek, kod sumber bagi modul-modul yang telah dibangunkan serta data, jenama dan logo ’MySejahtera’ adalah milik kerajaan.

"Kerajaan mempunyai hak penuh ke atas penggunaan platform MySejahtera melalui Lesen Platform Kekal (PerpetualLicense) tanpa sebarang kos walaupun kontrak tidak dilanjutkan atau sekiranya kerajaan membuat keputusan melantik pihak lain untuk menguruskan aplikasi MySejahtera," jelasnya.

Menjawab soalan tambahan mengenai jaminan ketirisan data MySejahtera, beliau berkata isu 3 juta data yang telah dimuat naik oleh akaun 'Super Admin' adalah langkah-langkah keselamatan yang dilakukan pihak MySejahtera.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendedahkan terdapat 1.12 juta cubaan memecah masuk aplikasi MySejahtera. Sebanyak tiga juta maklumat pengguna aplikasi MySejahtera dilapor telah diakses secara mencurigakan daripada akaun 'Super Admin'.

Susulan itu, Kementerian Komunikasi dan Digital telah mengarahkan Cyber Security Malaysia (CSM) menyiasat laporan yang mendedahkan maklumat pengguna aplikasi MySejahtera dimuat turun oleh pihak tidak bertanggungjawab.