Belanjawan 2023: Mentransformasikan pendidikan tinggi negara

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan menyokong Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’.

Belanjawan 2023 berjumlah RM388.1 bilion ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam menyokong usaha KPT untuk melaksanakan transformasi pendidikan tinggi melalui pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi.

Dalam satu kenyataan kepada media, KPT juga menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan terhadap agenda pendidikan tinggi negara melalui peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.3 bilion, iaitu RM11.7 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM3.6 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan. Peruntukan ini meningkat sebanyak 5.7 peratus berbanding tahun 2022.

Perbelanjaan Pembangunan KPT telah menunjukkan peningkatan sebanyak 22.9 peratus (RM671 juta). Justeru, fokus KPT bagi tahun 2023 adalah untuk menambahbaik fasiliti Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi memastikan infrastruktur, bangunan dan peralatan di IPTA berada dalam keadaan yang kondusif, selamat serta berfungsi dengan efisyen untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

No Image Caption

Sebanyak RM436 juta dikhususkan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di IPTA.

Dalam mentransformasi pendidikan tinggi melalui teknologi alaf baru, KPT juga akan memberi tumpuan terhadap agenda pendigitalan dalam aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatan, untuk manfaat para penyelidik, ahli akademik dan pelajar-pelajar di IPT.

No Image Caption

Dana sebanyak RM35 juta akan digunakan untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di IPTA di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN).

Usaha pendigitalan ini diharapkan akan dapat memperluas akses pembelajaran berkualiti yang inovatif, fleksibel dan bertaraf global kepada semua pemegang taruh tanpa mengira lokasi.

No Image Caption

KPT juga akan memperkasa agenda penyelidikan dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat ilmu yang unggul melalui peruntukan R&D sebanyak RM428 juta yang diperuntukkan kepada KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

No Image Caption

Dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan penyelidikan translasional, KPT akan menterjermahkan penyelidikan translasional kepada penghasilan nyata untuk manfaat kerajaan, komuniti, industri dan akademia.

Di samping itu juga, inisiatif-inisiatif Belanjawan 2023 yang akan menjadi tumpuan KPT adalah seperti berikut:

1. Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga (3) bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus;

No Image Caption

2. Permohonan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam (6) bulan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023;

No Image Caption

3. Menyokong Kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 seorang bagi belia 18 hingga 20 tahun di bawah KPT;

No Image Caption

4. Kerjasama dengan Syarikat GLC peneraju untuk mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka;

No Image Caption

5. Mengeratkan kerjasama dengan industri melalui pengukuhan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk manfaat lebih 8,000 pelatih.

No Image Caption

6. Menawarkan kepakaran dan perkhidmatan Hospital Pengajar Universiti bagi membantu isu kesesakan kemudahan kesihatan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia.

Seiring dengan tema Membangun Malaysia MADANI, KPT komited dalam usaha membantu kerajaan mencapai hasrat Belanjawan 2023 melalui pelaksanaan inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada pemegang taruh KPT khususnya, serta komuniti dan masyarakat secara amnya.