Fadzli tawar diri tanding Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub

Fadzli bersama borang pencalonan untuk jawatan tersebut.
Fadzli bersama borang pencalonan untuk jawatan tersebut.
A
A
A

RAUB - Exco Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, 43, menawarkan diri bagi merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Raub.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil berdasarkan pengalaman dalam parti itu dan kebolehan yang ada.

"Saya dengan rasa rendah diri ingin menyatakan kesediaan untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub.

"Berbekalkan sedikit pengalaman, kebolehan dan hubungan erat saya dengan kepimpinan di peringkat negeri dan nasional, diharap ianya dapat dijadikan sandaran kepada akar umbi untuk menimbang dan memperhalusi penawaran diri saya ini untuk menabur khidmat bakti kepada UMNO Bahagian Raub," katanya dalam hantaran Facebook miliknya pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong juga yakin dan percaya, UMNO berupaya kembali bangkit memenangi hati dan minda rakyat menerusi gerak kerja yang strategik, ikhlas serta bersungguh-sungguh.

"Kesemua ini memerlukan kepimpinan yang mempunyai dinamisme, kreativiti dan fleksibiliti dalam percaturan politik baharu yang lebih rencam dan terbuka.

"Saya mohon agar penawaran diri saya ini mendapat iringan doa dan dukungan tidak berbelah bahagi daripada semua ahli UMNO Bahagian Raub," tambah Fadzli.