Lelaki ditemui lemas motosikal terbabas jatuh sungai

Mangsa ditemukan lemas 15 meter dari lokasi terjatuh di Sungai Tambun Tulang, Arau pada Ahad. - Foto: Polis
Mangsa ditemukan lemas 15 meter dari lokasi terjatuh di Sungai Tambun Tulang, Arau pada Ahad. - Foto: Polis
A
A
A

ARAU - Seorang lelaki ditemui lemas di Sungai Tambun Tulang, dekat sini selepas motosikalnya dipercayi terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, orang ramai melihat mangsa yang dikenali Mohd Syafidu Arifin, 27 tahun berasal dari Kampung Pida 3 Semut Gatal, Kedah terjatuh ke dalam sungai tersebut pada jam 8.27 pagi.

Menurutnya, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum mengarahkan kereta Peronda MPV ke lokasi kejadian.

"Gerakan IPD Arau juga telah memaklumkan kepada pihak Bomba Arau untuk bantuan pada jam 8.50 pagi sebelum bomba berjaya menaikkan motosikal terbabit.

Motosikal mangsa turut dibawa pulang ke IPD Arau untuk siasatan lanjut.
Motosikal mangsa turut dibawa pulang ke IPD Arau untuk siasatan lanjut.

"Pada jam 9.44 pagi, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba tiba di lokasi dan mereka membuat selaman ke dalam sungai.

"Pada jam 11.07 pagi, mereka berjaya menjumpai mangsa iaitu 15 meter dari lokasi mangsa jatuh bagaimanapun disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ahmad Mohsin berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam sungai terbabit bersama motosikal.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk bedah siasat.