Pemilihan UMNO: 8 pemimpin rebut jawatan Naib Presiden

Dari kiri: Reezal Merican, AZALINA, Dr Zambry Abdul Kadir, dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - BERNAMA)
Dari kiri: Reezal Merican, AZALINA, Dr Zambry Abdul Kadir, dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - BERNAMA)
A
A
A

MESKIPUN dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti sesi 2023-2023 ini, namun 'bahang' kehangatannya tetap dirasai.

Umum mengetahui, secara rasminya jam 5 petang ini kesemua borang pencalonan untuk pemilihan parti bagi penggal kali ini akan ditutup sepenuhnya.

Ia bererti mana-mana calon yang ingin menghantar borang pencalonan selepas jam yang ditetapkan itu, maka ia tidak lagi diterima.

Tumpuan pastinya terarah ke Menara Dato' Onn bagi melihat senarai akhir calon yang bakal berentap dalam pemilihan yang disifatkan genting ini bagi memperkukuhkan kembali parti Melayu terbesar negara ini.

Sesi pemilihan parti tersebut bakal melibatkan perebutan bagi jawatan Naib Presiden, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri.

Apa yang menarik, jawatan Naib Presiden antara yang mendapat saingan tinggi daripada individu berpengaruh dalam UMNO.

Individu tersebut adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Turut serta adalah Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Penyertaan Azalina sebagai calon tunggal wanita ke dalam penyertaan kali ini bukan suatu yang dipandang ringan kerana ia sekali gus sedang membawa mesej dan reformasi kaum itu terhadap parti tersebut.

Sementara itu, kemunculan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bagi merebut jawatan Ketua Wanita daripada penyandang, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilihat mengejutkan orang ramai, namun ia secara tidak langsung memberi isyarat pengaruh otai yang masih belum pudar daripada UMNO.

Apa pun, diharapkan sesi pemilihan kali ini menjadi langkah awal bagi mencorak masa hadapan yang lebih baik buat pergerakan tertua politik di Malaysia itu.