Anak Zahid tawar diri tanding Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk

Nurulhidayah (kiri) bertemu dengan Zarozatin bagi menyatakan hasrat bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan parti itu kali ini. - Foto FB Nurulhidayah Ahmad Zahid Official
Nurulhidayah (kiri) bertemu dengan Zarozatin bagi menyatakan hasrat bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan parti itu kali ini. - Foto FB Nurulhidayah Ahmad Zahid Official
A
A
A

IPOH - Anak kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan parti itu, Mac ini.

Beliau mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di Facebooknya setelah mendapat 'lampu hijau' daripada Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam hantaran itu, Nurulhidayah turut bertemu dengan ketua wanita UMNO bahagian itu, Zarozatin Isa atau dikenali sebagai Cik Zatin bagi menyatakan hasratnya.

"Abah saya pesan 'jangan gaduh dengan sesiapa'. Saya sendiri memohon untuk berjumpa Cik Zatin kerana menghormati beliau sebagai orang lama dan tetap akan bekerjasama dengan beliau seandainya saya mendapat tempat di hati perwakilan Bagan Datuk nanti.

"Cik Zatin berbesar hati dan berkata kepada saya 'kita bertanding dengan sihat'. Saya punya semangat baharu meneruskan perjuangan bertanding sebagai calon Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk," katanya menerusi hantaran itu pada Sabtu.

Nurulhidayah mengakui pilihan bertanding jawatan itu tidak mudah berikutan dirinya merupakan anak Presiden UMNO dan Ketua Bahagian berkenaan.

"ALLAH mahukan saya 'double up' usaha dan keyakinan terhadap Dia, hanya Dia," katanya.

Difahamkan, pertandingan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru termasuk Nurulhidayah dan Zarozatin yang dijangka mempertahankan jawatan tersebut.