PRN Negeri Sembilan: Sudah ada pertemuan tidak rasmi PH, BN

Aminuddin (dua dari kanan) ketika menyampaikan elaun guru takmir di Seremban pada Sabtu.
Aminuddin (dua dari kanan) ketika menyampaikan elaun guru takmir di Seremban pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan telah bertemu dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan secara tidak rasmi bagi membincangkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun katanya, ia hanyalah perbualan biasa mengenai pilihan raya sebaik selesai pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak rasmi ada la jumpa borak... semalam (Jumaat) pun ada jumpa Tok Mat. Insya-ALLAH perbincangan formal minggu depan atau minggu satu lagi, bincang pembahagian kerusi, nak bersama atau bagaimana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Fiqh Al-Mizan dan Pelancaran Inisiatif Guru-Guru Takmir negeri di sini pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri mencapai kata sepakat untuk menimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir pada Jun nanti bagi memberi laluan PRN.

Enam negeri berkenaan yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang terakhir bagi penggal ini dijadual diadakan pada pertengahan Mac ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN akan menggunakan lambang sendiri pada PRN, Aminuddin berkata, perkara itu terserah

kepada pucuk pimpinan PH menentukannya.

"Kalau mereka nak guna logo sendiri atau logo yang baharu pun tak apa dan saya rasa itu terserah kepada pucuk pimpinan menentukan," katanya.