Angkasa terima Anugerah Penggerak Usahawan Koperasi 2023

Abdul Rahman mewakili Presiden Angkasa menerima Anugerah Penggerak Usahawan Koperasi 2023 dari Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
Abdul Rahman mewakili Presiden Angkasa menerima Anugerah Penggerak Usahawan Koperasi 2023 dari Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah menerima Anugerah Penggerak Usahawan Koperasi 2023 di Majlis Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang diadakan buat julung kalinya pada Khamis.

Timbalan Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik hadir mewakili Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah bagi menerima anugerah tersebut.

Abdul Rahman berkata, Angkasa bersyukur kerana diberikan penghargaan tersebut dan ia amat bermakna kepada Angkasa.

“Anugerah itu menunjukkan usaha Angkasa membangunkan gerakan koperasi daripada peringkat koperasi sekolah hingga ke koperasi dewasa semakin diketahui ramai sekali gus memberi impak kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis itu yang diadakan di sini pada Khamis.

Majlis penuh prestij tersebut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dalam ucapannya, beliau berkata, majlis penganugerahan itu sangat penting dalam usaha menyantuni pemain industri pelbagai bidang yang juga usahawan berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Abdul Rahman (tengah) selepas menerima Anugerah Penggerak Usahawan Koperasi 2023 di Majlis Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang diadakan buat julung kalinya pada Khamis.
Abdul Rahman (tengah) selepas menerima Anugerah Penggerak Usahawan Koperasi 2023 di Majlis Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang diadakan buat julung kalinya pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, BISA berbeza dengan anugerah lain yang biasa dianjurkan untuk perniagaan dan ekonomi kerana ia bukan sekadar pentas menyampaikan anugerah semata-mata.

“BISA direka khas untuk mengiktiraf usahawan-usahawan tempatan di Malaysia terutama pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kita mahu rakyat mengetahui bahawa dalam kejayaan seseorang usahawan, ada organisasi lain yang mungkin turut memainkan peranan, baik agensi-agensi kerajaan, perbankan, syarikat telekomunikasi, pasar raya besar dan platform beli-belah dalam talian,” kata Farah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Anggota-Anggota Lembaga Angkasa, Datuk Mohamad Ali Hasan, Datuk Kamarudin Ismail, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa dan Azizul Alias.