SKM sedia pembiayaan agromakanan sehingga RM3 juta

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JASIN - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pembiayaan agromakanan sehingga RM3 juta bagi menyokong penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan termasuk ternakan ayam dan ruminan.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, SKM juga menyediakan bantuan geran pembangunan sehingga RM300,000 kepada koperasi bagi memperluaskan projek agromakanan serta aktiviti hilirannya.

“Kuskop melalui SKM dan gerakan koperasi sentiasa komited memperkasakan penglibatan koperasi dalam aktiviti penternakan ayam sebagai usaha menangani kenaikan kos sara hidup di samping membantu menjamin bekalan makanan.

“Ini kerana koperasi berperanan penting membantu kerajaan mempertingkatkan sumber bekalan ayam untuk keperluan negara dan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Eksplorasi Menteri ke Koperasi Negeri Melaka, di Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad (KOP-KHAS) di sini pada Sabtu.

Ewon berkata, sehingga Disember 2022, jumlah koperasi berdaftar di seluruh negara sebanyak 15,315 buah melibatkan keanggotaan melebihi 7.05 juta anggota dengan jumlah aset sebanyak RM159.90 bilion dan modal syer/yuran RM16.99 bilion dan turnover sebanyak RM38.49 bilion.

Beliau berharap, gerakan koperasi di Malaysia terus diperkasa dan bergerak seiring dengan agenda transformasi pembangunan ekonomi negara.

“Saya yakin Gerakan Koperasi di Malaysia akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi negara dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad didaftarkan pada 24 Jun 2020 terlibat sepenuhnya dalam projek ternakan ayam kampung kacuk di Kampung Gubah, Asahan Melaka.

Sehingga kini, pengeluaran ayam hidup matang di ladang ternakan sedia ada berjumlah 84,600 ekor.

Keuntungan penternakan ayam pada tahun 2021 sebanyak RM47,846.56 dan meningkat kepada RM82,864.78 bagi tahun 2022.

Koperasi itu menerima Geran Bantuan Pembangunan Koperasi berjumlah RM30,000; Geran Program Dagang Produk/Perkhidmatan Koperasi atas talian (e-dapat) berjumlah RM20,000; Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM, Pembiayaan Khas Covid-19 berjumlah RM100,000 dan terkini menerima Pembiayaan Agro-makanan berjumlah RM250,000.