Love Scam sasar mangsa kesunyian

Sasikala Devi
Sasikala Devi
A
A
A

SHAH ALAM - Jenayah penipuan Love Scam sering menyasarkan yang individu kesunyian dengan menggunakan media sosial.

Ketika mula berkenalan, sindiket yang menyamar dengan menggunakan profil palsu akan ‘berlakon’ kononnya sentiasa mengambil berat dan kerap memberi nasihat.

Selepas berkenalan hingga mangsa jatuh cinta, suspek akan meminta pertolongan dari segi kewangan dengan pelbagai alasan antaranya untuk urusan perniagaan.

Mangsa yang simpati kemudian membuat transaksi wang sebelum menyedari mereka ditipu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, suspek akan menggunakan profil palsu atau gambar individu yang berpersonaliti menarik dan berhubungan dengan mangsa melalui telefon untuk satu jangka masa tertentu.

Katanya, individu kesunyian sama ada yang kehilangan pasangan hidup atau hidup keseorangan kerap menjadi sasaran sindiket Love Scam.

Antara barangan scammer yang dirampas.
Antara barangan scammer yang dirampas.

“Golongan berkenaan banyak menghabiskan masa melayari media sosial untuk mengisi kekosongan dan seterusnya mencari kenalan baharu untuk menghilangkan kesunyian.

Ada juga individu yang berkongsi masalah peribadi di media sosial dan dilihat ia satu peluang untuk menipu mangsa tersebut.

“Selain itu, individu yang berhasrat untuk berhijrah ke luar negara dan mencari pasanan di negara terbabit juga terdedah kepada sasaran sindiket penipuan.

“Apabila mereka berkenalan di media sosial, mereka mendapati suspek kononnya mengambil berat dan sering memberi nasihat hingga menyebabkan mangsa jatuh cinta,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Sasikala Devi berkata, selepas mangsa jatuh cinta, suspek akan mula meminta pertolongan berbentuk kewangan dengan pelbagai alasan dan salah satu daripadanya ialah untuk mengembangkan perniagaan dan berjanji akan berkongsi keuntungan dengan mangsa.

Selain itu, sindiket juga menggunakan taktik mahu menghantar bungkusan hadiah mengandungi barangan kemas dan wang tunai kepada mangsa sebagai tanda persahabatan.

“Mangsa kemudiannya dihubungi seseorang yang menyamar sebagai pegawai kastam atau syarikat kurier mengatakan barang yang dihantar telah sampai namun ia telah ditahan kerana tidak membayar cukai, insurans atau wang tunai tidak diisytiharkan.

“Mangsa kemudian diminta untuk membuat bayaran clearance kepada sindiket melalui nombor akaun yang tertentu,” jelasnya.

Tambah Sasikala Devi, perasaan cinta terhadap ‘kekasihnya’ itu mengakibatkan mangsa percaya dan akan melakukan seperti yang diminta tanpa menyedari mereka telah ditipu.

“Mangsa hanya sedar ditipu apabila barang yang dihantar itu tidak diterima,” ujarnya.

Polis turut merampas pelbagai kad ATM yang digunakan oleh sindiket Love Scam.
Polis turut merampas pelbagai kad ATM yang digunakan oleh sindiket Love Scam.

Rugi RM12 juta tahun lalu

Dedah beliau, sebanyak 3,725 kes jenayah komersial di Selangor dilaporkan melibatkan kerugian lebih RM418 juta pada tahun lalu.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,827 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian lebih RM142 juta.

Beliau berkata, sebanyak 98 kertas siasatan telah dibuka dan 158 tangkapan kes Love Scam dan Parcel Scam dibuat yang melibatkan kerugian RM12 juta.

“Bagi statistik pada tahun 2021, sebanyak 187 kertas siasatan dibuka serta 98 individu ditahan melibatkan kerugian sebanyak RM13 juta,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Sasikala Devi berkata, polis percaya sindiket turut menggunakan keldai akaun untuk setiap transaksi dalam talian yang dilakukan.

Ujarnya, akaun berkenaan dipercayai milik individu yang dijual atau disewa kepada sindiket serendah RM100 atau RM200 sebulan atas faktor kesempitan hidup.

“Dalang sebenar sindiket tidak akan menggunakan akaun mereka sendiri bagi mengelak daripada ditangkap manakala keldai akaun pula tidak memegang kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berkenaan kerana sudah diberikan kepada sindiket,” ujarnya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial.

“Keldai akaun ini boleh dianggap bersubahat dengan sindiket penipuan dalam talian,” tambah beliau.

Menurutnya, ahli sindiket penipuan dalam talian juga tidak mengenali antara satu sama lain namun mereka mempunyai peranan masing-masing.

“Arahan kepada ahli sindiket pula diberikan melalui WhatsApp. Ada ahli sindiket ditugaskan untuk mengambil kad ATM daripada keldai akaun atau dari syarikat kurier,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket penipuan turut menggunakan nama warga asing untuk mendaftar nombor talian telekomunikasi.

“Kita juga mengesan alamat yang digunakan oleh sindiket penipuan untuk mendaftar nombor talian ini tidak wujud,” jelasnya.

Kata beliau, untuk rekod, sebanyak 3,818 keldai akaun telah dikenal pasti pada tahun lalu.

“Kita juga mendapati sebanyak 1,016 keldai akaun yang terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian sejak Januari hingga 22 Februari lalu,” ujarnya.

Antara barangan yang dirampas oleh polis.
Antara barangan yang dirampas oleh polis.

Mangsa selalu alpa

Sasikala Devi berkata, orang ramai yang dilihat mudah terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian atau scam ini berkemungkinan kerana sikap alpa dan merasakan diri mereka tidak akan menjadi mangsa sindiket penipuan.

“Kita telah banyak menganjurkan seminar, taklimat, forum dan kempen di media sosial namun tahap kesedaran masyarakat berkaitan isu sindiket penipuan masih rendah.

“Masyarakat juga mudah panik apabila menerima panggilan daripada sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.

“Sindiket penipuan akan menggunakan taktik menakutkan mangsa serta menuduh mangsa sebagai individu bersalah dan melanggar undang-undang dalam usaha memerangkap mangsa tersebut,” katanya.

Menurut beliau, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala keldai akaun yang ditahan akan dituduh di mahkamah mengikut Akta Kesalahan Kecil 1955.

Perlu undang-undang lebih tegas

Dalam pada itu Sasikala Devi mencadangkan kerajaan untuk membuat pindaan undang-undang untuk memberikan hukuman lebih berat terhadap jenayah siber dan perlu mengkaji semula undang-undang sedia ada terhadap sindiket penipuan dalam talian.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan polis sekiranya menerima panggilan meragukan.

“Semakan nombor telefon dan akaun bank yang diterima juga boleh dibuat melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengelak ditipu,” jelas beliau.

Tambahnya, orang ramai yang berdepan penipuan siber juga digesa menghubungi segera Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 supaya tindakan selanjutnya boleh dilakukan.

“Talian ini dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan tindakan segera akan dijalankan dengan membekukan akaun serta menyekat pengeluaran wang.

“Mangsa penipuan juga perlu membuat laporan polis dan laporan ke pihak bank berkaitan untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya.

NSRC ialah sebuah pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


KRONOLOGI

14 Februari 2023

Dua individu rugi lebih RM200,000 ditipu

KUANTAN - Wang simpanan milik dua individu berjumlah lebih RM200,000 lebur selepas menjadikan mangsa penipuan sindiket penyamaran sebagai rakan karib dan Love Scam pada Isnin.

Lelaki berusia 38 tahun dan wanita warga emas berusia 71 tahun itu masing-masing membuat laporan polis kerana terlibat dalam dua kes penipuan berbeza.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes pertama melibatkan seorang penjual sayur yang dikatakan menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai kenalannya.

Menurutnya, suspek menggunakan nama dan gambar kenalannya dan mahu meminjam wang daripada mangsa.

Akibat terlalu percaya dan ingin membantu, mangsa telah membuat 16 kali transaksi ke dalam lima akaun berlainan dan mengalami kerugian RM125,000.

Dalam kejadian lain, seorang balu telah terpedaya dengan kenalan di alam maya.

Suspek mendakwa telah mengirimkan hadiah dan meminta mangsa supaya berurusan dengan pihak penghantar barangan tersebut.

Mangsa telah memasukkan kesemua wang simpanan termasuk pencen arwah suami berjumlah RM86,000 ke dalam lima akaun berbeza yang diberikan suspek.

4 Februari 2023

Pegawai perubatan rugi RM94,001 terpedaya Love Scam

PETALING JAYA - Seorang pegawai perubatan mengalami kerugian sebanyak RM94,001 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Love Scam pada Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 31 tahun itu mendakwa telah berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook.

Lelaki berkenaan dipercayai bekerja di luar negara, perkenalan tersebut berterusan melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.

7 Januari 2023

Warga emas rugi RM68,460 terjerat cinta 'pucuk muda'

JOHOR BAHRU - Akibat terjerat dengan cinta 'pucuk muda', seorang lelaki warga emas diperdaya sindiket Love Scam hingga mengalami kerugian RM68,460 baru-baru ini.

Mangsa, Chong Hing, 62, berkata, semuanya bermula apabila dia berkenalan dengan seorang wanita tempatan yang dikenali sebagai Yean berusia 20-an pada Mac tahun lalu menerusi media sosial.

Hubungan mereka semakin rapat apabila kerap berhubung menerusi WhatsApp sebelum terpedaya dengan pujukan Yean untuk menyertai pelaburan bitcoin yang menjanjikan pulangan berganda dalam tempoh masa kurang sebulan.

14 Disember 2022

Wanita rugi lebih RM150,000 ditipu kekasih alam maya

SIBU - Seorang wanita berusia 44 tahun kerugian sebanyak RM152,050 selepas terpedaya dengan Love Scam seorang individu dikenalinya menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek menghubungi mangsa menggunakan aplikasi WhatsApp, memaklumkan dia telah ditahan imigresen kerana membawa mata wang Britain dalam kuantiti yang banyak.

Atas dasar percaya dan kasihan, mangsa telah membuat 27 transaksi pindahan wang ke dua akaun berbeza yang diberikan suspek bagi tujuan bayaran untuk menolong ‘kekasihnya’ itu.