KKD manfaat peruntukan demi rakyat, industri kreatif - Fahmi

Peruntukan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta diharap membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni menghasilkan pelbagai karya kreatif seperti filem, animasi dan muzik yang bermutu tinggi. - Gambar hiasan
Peruntukan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta diharap membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni menghasilkan pelbagai karya kreatif seperti filem, animasi dan muzik yang bermutu tinggi. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memastikan peruntukan berjumlah RM2.737 bilion daripada kerajaan dimanfaatkan bagi mengutamakan kemudahan capaian internet untuk rakyat, merealisasikan dekad keemasan ekonomi digital serta mendukung usaha membangunkan industri kreatif.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ia seperti mempercepatkan projek Jendela di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah dengan peruntukan RM725 juta bagi menjamin kemudahan internet yang stabil dalam kalangan rakyat.

Jelas beliau, usaha itu selaras dengan saranan kerajaan agar Digital Nasional Berhad (DNB) diuruskan dengan lebih telus di samping memastikan rakyat mendapat liputan 5G yang menyeluruh dan pada harga yang berpatutan.

“Peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) pula akan diperkasakan bagi membantu peniaga kecil dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang.

“Sekurang-kurangnya satu PEDi akan diwujudkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat serta menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti ekonomi digital seiring dengan inisiatif KKD,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, KKD menerusi Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) akan melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi digital menerusi program Digital AgTech ke 100 Pertubuhan Peladang Kawasan seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta.

Menyentuh mengenai pembangunan industri kreatif, beliau berkata, peruntukan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta diharap membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni menghasilkan pelbagai karya kreatif seperti filem, animasi dan muzik yang bermutu tinggi.

“Bagi menyokong industri kreatif negara, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan diberi potongan cukai manakala duti import serta cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran juga akan dikecualikan,” ujarnya.

Jelasnya, Belanjawan 2023 merupakan pemacu bagi mendepani cabaran ekonomi semasa dan menjamin kesejahteraan rakyat dalam usaha membangunkan negara Malaysia Madani.