Banduan meninggal dunia selepas tujuh hari terima rawatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang banduan lelaki meninggal dunia selepas tujuh hari menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan selepas bergaduh dengan rakan sebilik di Penjara Sungai Udang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, warga Indonesia berusia 47 tahun itu disahkan meninggal dunia 6.28 petang semalam oleh doktor bertugas.

"Mangsa dirawat di wad berkenaan sejak 17 Februari akibat pendarahan dalam kepala, kecederaan di bahagian kiri kepala selain luka di bahagian mata kiri dan telinga kiri, dipercayai dipukul dalam pergaduhan di bilik penjara dalam kejadian pukul 2.15 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pergaduhan itu dipercayai bermula apabila mangsa mengambil roti yang dibekalkan pihak penjara daripada rakan sebiliknya, seorang warga tempatan berusia 33 tahun.

"Saksi kejadian yang merupakan seorang lelaki warga Nigeria mengatakan ketika kejadian, dia lalu di hadapan sel dan melihat suspek sedang memukul mangsa dan menyuruh suspek menghentikan tindakannya," katanya.

Christopher berkata, kejadian itu disedari seorang warden dan mangsa yang ketika itu masih dalam keadaan sedar diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Melaka.

Katanya, bedah siasat dilakukan hari ini kira-kira pukul 3 petang tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama