Tekad perjuang rasuah, Anwar dapat tepukan

Belanjawan kali ini memberikan mesej jelas bahawa rasuah dan penyelewengan tidak boleh diteruskan lagi di negara ini. - Gambar hiasan
Belanjawan kali ini memberikan mesej jelas bahawa rasuah dan penyelewengan tidak boleh diteruskan lagi di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan terus memperjuangkan isu membanteras rasuah ketika membentangkan Belanjawan 2023 mendapat sorakan daripada ahli Dewan Rakyat.

Anwar dalam ucapannya menegaskan, belanjawan kali ini mesti memberikan mesej yang jelas bahawa rasuah dan penyelewengan tidak boleh diteruskan lagi di negara ini.

Sebaik mengungkapkan tekad itu, ahli-ahli Dewan Rakyat kemudiannya menepuk meja tanda menyokong pendirian Ahli Parlimen Tambun itu.

“Terima kasih, saya nampak suara daripada 222 penyokong ketelusan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Anwar menyatakan Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan reformasi institusi dan tata kelola baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah dan penyelewengan yang sistemik.

Semua agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sedang giat menyiasat salah laku rasuah dan sama ada Pandora Papers atau apa-apa sahaja.

“LHDN juga akan terus menyiasat kekayaan luar biasa bagi memerangi jenayah rasuah daripada terus membarah.

“Rakyat sudah tidak sabar mahukan perubahan, saya juga tidak sabar untuk lakukan anjakan pembaharuan supaya urusan kerajaan akan lebih pantas, mudah dan telus,” katanya.