Pasukan khas banteras pornografi kanak-kanak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sebuah pasukan khas di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) akan ditubuhkan untuk membanteras aktiviti pornografi dalam kalangan kanak-kanak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama melibatkan pelbagai agensi juga akan dilaksanakan bagi mencari pelaku yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Kerajaan sentiasa prihatin akan keselamatan masyarakat kita, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

“Namun, permasalahan melibatkan wanita dan kanak-kanak masih dilihat membimbangkan saat ini.

“Oleh itu, Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes-kes seksual, wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Ia bertujuan memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak,” ujarnya.