Jurutera daerah diberi kuasa baik pulih segera jalan rosak

Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar. - Gambar hiasan
Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk memberi kuasa kepada jurutera daerah melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan-jalan berlubang segera demi keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah baharu itu membolehkan tindakan segera dilakukan tanpa perlu melalui kerenah birokrasi melibatkan jabatan lain.

"Isu kemalangan jalan raya yang kian meningkat juga perlu segera ditangani. Lebih-lebih lagi jika disebabkan kelemahan prosedur kerajaan menyelesaikan masalah keselamatan jalan raya.

"Kita akan perkenalkan satu kaedah baharu untuk pegawai daerah, pegawai jajahan untuk Kelantan, residensi untuk Sarawak iaitu memberikan kuasa pegawai daerah dan khidmat jurutera daerah untuk memperbaiki masalah-masalah berlubang dan kerosakan kecil dengan segera tanpa mengikuti pandangan jabatan-jabatan yang lain.

"Kerajaan menyediakan RM100,000 untuk setiap daerah," katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan.

Katanya, sebanyak RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4 bagi melaksanakan penyelenggaran kecil.

"Sejumlah RM1.5 bilion disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.

"RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan akan meningkatkan pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) yang bertujuan untuk menyelenggarakan jalan negeri kepada RM5.2 bilion.

"Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana," katanya.