[VIDEO] Kerajaan tak laksana GST

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana dalam keadaan kebanyakan rakyat yang masih susah, inflasi makanan lebih lima peratus, kadar upah yang masih rendah maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang bersesuaian untuk memperkenalkan dan melaksanakan cukai berkenaan.

Justeru, Anwar berkata, kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang berkemampuan.

“Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah.

“Antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut Anwar, selaras amalan terbaik antarabangsa, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.

Jelasnya, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

“Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang hakikatnya telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

“Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape,” ujarnya.

Anwar memaklumkan kerajaan menyokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) dan bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais itu akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Ujarnya, bagi mengurangkan ketirisan maka usaha penguatkuasaan agensi kerajaan akan terus dipergiatkan bersama-sama pihak industri bagi mengekang ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan seperti diesel, arak dan rokok.

Tambah Anwar, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela.

“Melalui program ini, pengampunan ke atas penalti 100 peratus akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024,” jelasnya.