Karnival MyFutureJobs tawar lebih 5,000 jawatan kosong

Kekosongan jawatan yang ditawarkan terbuka kepada semua rakyat tempatan termasuk golongan OKU. -Gambar fail
Kekosongan jawatan yang ditawarkan terbuka kepada semua rakyat tempatan termasuk golongan OKU. -Gambar fail
A
A
A

IPOH - Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 meneruskan kembara kali ini di Perak dengan tawaran lebih 5,000 peluang pekerjaan bermula Sabtu ini.

Program selama dua hari itu diadakan di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah dan dijadualkan dirasmikan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Kekosongan jawatan yang ditawarkan adalah terbuka kepada semua rakyat tempatan termasuk golongan kurang upaya (OKU).

Kali ini, 25 majikan mengambil bahagian antaranya Perak Community Specialist Hospital, Mydin Mohammed Holdings Berhad, Maybank Berhad, Samsung Electronics (M) Sdn Bhd, 99 Speedmart Sdn Bhd, Genting Malaysia Berhad, McDonald’s Malaysia, 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Flextronics Technology (Penang) Sdn Bhd dan AEON Co. (M) Berhad.

Karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Majlis Daerah Batu Gajah dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah selepas sambutan menggalakkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Februari lalu.

Perkhidmatan disediakan Perkeso termasuk pendaftaran di Portal MYFutureJobs, bantuan penyediaan resume serta khidmat nasihat dan bimbingan kerjaya daripada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, yang merupakan tonggak kepada perkhidmatan pekerjaan Perkeso, sehingga kini telah membantu 776,742 pencari kerja memperoleh pekerjaan.

Sementara itu, sejajar dengan matlamat membangunkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan inklusif di Malaysia, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dilaksanakan PERKESO pada 1 Disember 2022.

Skim tersebut menyediakan perlindungan sosial kepada golongan suri rumah terhadap bencana domestik dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga.

Bagi memastikan suri rumah di Malaysia dilindungi SKSSR, PERKESO akan memperhebatkan kempen penerangan dan promosi skim ini kepada semua rakyatMalaysia.

Sepanjang program dua hari itu, satu booth pameran SKSSR akan disediakan untuk memberi penerangan kepada pengunjung dan membolehkan golongan suri rumah membuat pendaftaran dan mencarum di bawah SKSSR.

Sehingga 20 Februari 2023, seramai 142,079 orang suri rumah telah mencarumdengan SKSSR.

Perkeso menjemput orang ramai berkunjung ke acara ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang manfaat perlindungan SKSSR.

Pencari kerja yang berminat untuk menghadiri sesi temu duga terbuka pula digalakkan untuk mendaftar di www.myfuturejobs.gov.my/career sebelum menghadiri karnival.