Langgar lari: Polis minta saksi tampil bantu siasatan

Rakaman CCTV di tempat kejadian menunjukkan seorang kakitangan MPK dirempuh sebuah motosikal ketika melintas di hadapan pejabatnya pada Isnin lalu.
Rakaman CCTV di tempat kejadian menunjukkan seorang kakitangan MPK dirempuh sebuah motosikal ketika melintas di hadapan pejabatnya pada Isnin lalu.
A
A
A

KLANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes langgar lari melibatkan seorang wanita di hadapan pejabat Majlis Perbandaran Klang (MPK) tampil menyalurkan maklumat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa berusia 27 tahun itu merupakan kakitangan MPK telah dilanggar semasa melintas di garisan pejalan kaki di hadapan pejabat MPK sekitar jam 7.45 pagi Isnin dan penunggang motosikal terbabit bertindak melarikan diri.

Menurutnya, mangsa yang cedera di bahagian kaki dan tangan sebelah kiri telah membuat laporan polis manakala kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh menghubungi Sarjan Tuan Mohd Nazri Tuan Lah di talian 019-2822579 atau menyalurkan maklumat terus kepada Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3372 2222 bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan suspek menunggang motosikal yang dipercayai jenis Yamaha Lagenda 115 berwarna merah atau hitam dan memakai jaket berwarna putih serta topi keledar berwarna hitam.