Op Tropicana: 'Ada nama tertentu lindungi sindiket'

Azam Baki (kiri) dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika sidang akhbar mengenai Op Tropicana di Ibu Pejabat SPRM pada Khamis. - Foto: Bernama
Azam Baki (kiri) dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika sidang akhbar mengenai Op Tropicana di Ibu Pejabat SPRM pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki terdapat nama-nama tertentu yang melindungi sindiket penipuan pelaburan didalangi warga United Kingdom (UK) dalam serbuan Op Tropicana.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, hasil maklumat siasatan yang dijalankan pihaknya percaya ada agensi penguatkuasaan yang disogok.

"Dalam serbuan ini, kita nampak ada nama-nama tertentu disyaki terlibat melindungi mereka," katanya ketika sidang akhbar Op Tropicana pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Dalam operasi yang dijalankan SPRM dengan kerjasama Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri pada Selasa telah membongkar kegiatan itu menerusi serbuan di ibu negara dan Pulau Pinang.

Mereka yang disyaki sebagai scammer itu dipercayai memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil penipuan mereka sejak 2019 sehingga sekarang.

Kumpulan itu turut dikatakan menyogok pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan ahli dan memudahkan urusan sindiket menjalankan operasi di 'boiler room' (pusat panggilan) mereka di negara ini.

Mengulas mengenai ketiadaan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi itu, Azam berkata, Op Tropicana hanya melibatkan akta di bawah SPRM dan Imigresen.

"Kami mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Imigresen melibatkan akta yang kami mempunyai kuasa.

"Kebetulan pula Imigresen mempunyai skuad khas, jadi tidak perlu panggil polis," jelasnya.