Pegawai Wan Saiful ditahan SPRM

Seorang pegawai kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ditahan SPRM bagi membantu siasatan. Gambar kecil: Azam
Seorang pegawai kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ditahan SPRM bagi membantu siasatan. Gambar kecil: Azam
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan itu dibuat susulan dakwaan dikeluarkan individu terbabit kononnya SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful bagi menukarkan kenyataan untuk menganiayai bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM jam 3.30 petang Rabu untuk memberi keterangan," katanya menerusi sidang akhbar Op Tropicana di sini pada Khamis.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.

"Walaupun permohonan maaf telah dibuat, saya secara peribadi tidak akan ampunkan orang sebegini yang telah merosakkan repustasi SPRM dengan tuduhan liar," katanya.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh individu terlibat telah menimbulkan spekulasi yang tidak baik terhadap SPRM.

"Perkara ini tidak tidak boleh dipadamkan. Mana-mana dan rata-rata (orang) pun masih lagi mempercayai bahawa wujud perkara ini.

"Jadi minta maaf itu saya rasa satu perkara yang sengaja dipermain-mainkan," katanya.

Sementara itu, ditanya perkembangan berhubung kes melibatkan Muhyiddin, Azam berkata, pihaknya masih dalam proses menyiapkan siasatan.

"Apabila ia disiapkan, kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya yang enggan mengulas sama ada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan dituduh dalam masa terdekat berkaitan skandal projek Jana Wibawa.

Ujarnya, SPRM sedang menyiapkan tiga atau empat kertas siasatan lagi bagi kes tersebut.

Menyentuh mengenai dakwaan SPRM melakukan siasatan dan pendakwaan terpilih, Azam menegaskan pihaknya menjalankan tugas dengan profesional tanpa menjadi alat mana-mana parti politik.

"Siasatan yang dibuat berdasarkan aduan dan maklumat diterima, sekiranya ia mengandungi unsur kesalahan di bawah Akta SPRM, siasatan akan dijalankan," katanya.