Helah wanita seludup al-Quran digital

Nik Yusaimi (tengah) menunjukkan pen dan al-Quran digital yang dirampas di sebuah rumah sewa di Kajang, baru-baru ini.
Nik Yusaimi (tengah) menunjukkan pen dan al-Quran digital yang dirampas di sebuah rumah sewa di Kajang, baru-baru ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tidak isytihar label barangan diimport dengan tepat dan sekadar menyatakannya sebagai kategori 'bahan' dijadikan modus operandi membawa masuk al-Quran digital dari luar negara.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yussof berkata, taktik tersebut digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengedar serta menjual set al-Quran digital di seluruh negara.

Katanya, menerusi Ops Mulia Bilangan 2 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN di Selangor, satu rampasan melibatkan 1,332 unit al-Quran digital tanpa kelulusan telah berjaya dibuat.

Menurutnya, nilai rampasan berjumlah RM55,000 itu berjaya dilakukan ke atas seorang perempuan Melayu berusia awal 30-an di Kajang, Selangor baru-baru ini.

"Menerusi risikan dilakukan, PKK telah melakukan satu pemeriksaan di sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa bagi dijadikan tempat penyimpanan al-Quran digital tanpa kelulusan.

"Kesemua al-Quran berbentuk elektronik ini tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).

"Al-Quran digital tanpa kelulusan ini dipercayai diimport daripada China dan dibawa masuk dengan helah tidak melabelkan dengan tepat barangan diimport dan sekadar menyatakannya sebagai kategori 'bahan'," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan hasil rampasan Ops Mulia Bilangan 2 yang dijalankan tahun ini.

Hadir sama Ketua Seksyen PKK, Fahmi Sumali.

Mengulas lanjut, Nik Yusaimi berkata, suspek dipercayai menjadi pengedar dan penjual al-Quran digital tanpa kelulusan sejak lebih tiga tahun lalu, selain mempunyai ejen jualan di seluruh negara.

Sebahagian al-Quran digital tanpa kelulusan KDN dirampas.
Sebahagian al-Quran digital tanpa kelulusan KDN dirampas.

Katanya, suspek tidak menjual secara terbuka di premis jualan, sebaliknya jualan tertumpu secara dalam talian supaya tidak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, pasaran al-Quran digital dipercayai mendapat sambutan daripada orang ramai termasuk dijadikan sebagai barangan hantaran kahwin.

"Dipercayai al-Quran digital tanpa kelulusan ini ada dijual semurah RM29.90 kepada orang ramai secara dalam talian.

"Namun set al-Quran digital yang cantik boleh dijual antara RM350 hingga RM500 bagi dijadikan barangan hantaran kahwin," katanya.

Tambahnya, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali atas kesalahan dilakukan.