Belanjawan 2023: Beri lebih tumpuan kepada golongan OKU

Kerajaan perlu memberi peluang pekerjaan, tapak berniaga yang strategik, kemudahan pendidikan yang mesra OKU pada Belanjawan 2023. - Gambar hiasan
Kerajaan perlu memberi peluang pekerjaan, tapak berniaga yang strategik, kemudahan pendidikan yang mesra OKU pada Belanjawan 2023. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) meminta kerajaan memberikan tumpuan yang lebih kepada Orang Kurang Upaya (OKU) melalui Belanjawan 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Utama Pembangunan Ekonomi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Wong Huey Siew berkata, majoriti OKU di Malaysia terdiri daripada golongan B40 dan mereka secara relatifnya perlu dibantu dalam pelbagai bidang.

Menurut beliau, antara cadangan yang boleh dilakukan kerajaan ialah peluang pekerjaan, tapak berniaga yang strategik, kemudahan pendidikan yang mesra OKU dan juga kemudahan yang lain.

“Kerajaan perlu mempunyai agenda bagi mensejahterakan golongan OKU dalam mengurangkan kos sara hidup, kemudahan digital yang mesra OKU, perumahan, pengangkutan awam yang mudah diakses, dan geran operasi bagi pertubuhan bukan kerajaan OKU yang memberikan perkhidmatan dan kemudahan kepada golongan OKU.

“Diharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mendengar suara dan rintihan OKU di seluruh Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Huey Siew meminta kerajaan negeri dan tempatan turut memberikan tumpuan kepada keperluan OKU di setiap kawasan dan daerah seluruh Malaysia.

Beliau juga berharap dengan pembentangan Belanjawan 2023 golongan OKU dapat menjalani kehidupan yang lebih makmur dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pihak pertubuhan menaruh harapan yang tinggi kepada pembentangan Belanjawan 2023 daripada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk untuk membantu golongan OKU.

“Inilah masanya Konsep Malaysia Madani sebagaimana yang diwar-warkan dapat diterjemahkan kepada seluruh warga OKU di Malaysia,” katanya