Kerajaan akan bentang Akta Tanggungjawab Fiskal urus hutang

Ahmad
Ahmad
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal pada tahun ini dan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur dalam menguruskan paras hutang negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sehingga akhir 2022, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.0796 trilion atau 60.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, jumlah itu meliputi hutang dalam negara sebanyak RM1.0501 trilion dan pinjaman luar negara sebanyak RM29.5 bilion.

"Kedua, kerajaan melaksanakan kajian semula perbelanjaan awam termasuk langkah rasionalisasi dan keutamaan perbelanjaan mengurangkan ketirisan dan pembaziran.

"Ketiga, memperluaskan asas hasil dan memastikan peruntukan hasil yang mapan, di mana perbelanjaan mengurus perlu dibiayai melalui hasil negara. Keempat, memastikan bayaran khidmat hutang terkawal serta tidak melebihi 15 peratus daripada hasil," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahli Parlimen Pontian itu memaklumkan, kedudukan paras hutang negara meningkat dengan drastik kerana Covid-19 dan suntikan fiskal berjumlah RM110 bilion.



Sebanyak RM41.3 bilion atau 14 peratus daripada kutipan hasil pula dibelanjakan bagi bayaran khidmat hutang iaitu membayar faedah atas pinjaman terkumpul pada 2022.

"Satu perkara yang kita dengar adalah kenyataan Perdana Menteri bahawa hutang kerajaan adalah RM1.5 trilion atau 80.9 peratus daripada KDNK. Itu melibatkan hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan.

"Secara terperinci antaranya ialah RM1.0796 trilion (hutang Kerajaan Persekutuan); komitmen jaminan Kerajaan Persekutuan (RM205.9 bilion); 1Malaysia Development Berhad (1MDB) (RM18.2 bilion) dan liabiliti atau tanggungan lain (RM142.2 bilion).

"Apabila kita menyebut tentang hutang, ia melibatkan dua komponen iaitu hutang langsung dan hutang meliputi jaminan. Hutang langsung adalah RM1.0796 trilion dan apabila dicampur dengan tanggungan liabiliti jaminan, ia menjadi RM1.5 trilion," ujar beliau.

Tambahnya, bagi menguruskan hutang, kerajaan akan memastikan pinjaman kerajaan dibuat hanya untuk membiayai perbelanjaan pembangunan projek yang berimpak tinggi dan memberi pulangan besar kepada negara dan rakyat.

Selain itu, mengutamakan pinjaman domestik dengan mengambil kira mudah tunai yang tinggi, kos pinjaman lebih murah serta tidak terdedah kepada risiko pertukaran wang asing.

"Kita juga mengehadkan pemberian jaminan dan projek berskala besar yang akhirnya membebankan komitmen kewangan kerajaan," katanya.