Gempa bumi: Wartawan Sinar Harian, sukarelawan berdepan detik cemas

Unggun api dihidupkan bagi mengurangkan rasa sejuk kami di Reyhanli.
Unggun api dihidupkan bagi mengurangkan rasa sejuk kami di Reyhanli.
A
A
A

REYHANLI, TURKIYE - Peristiwa gempa bumi yang berpusat di wilayah Hatay, Turkiye pada jam 8.04 minit malam (waktu tempatan) pada Isnin, bersamaan jam 1.04 minit pagi waktu Malaysia (Selasa) adalah gegaran susulan yang paling kuat dirasai.

Gegaran yang direkodkan adalah berukuran 6.4 skala Richter, perbezaan besar berbanding gegaran pada Jumaat pada ukuran 4.7 skala Richter.

Ketika kejadian itu, saya baru pulang menghantar bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care di sekitar bandar Reyhanly, di wilayah Hatay yang menjadi pusat gegaran gempa terbabit.

Pusat gempa bumi di wilayah Hatay berhampiran Antakya, Kirikhan dan Reyhanli merekodkan gegaran 6.4 skala Richter pada jam 8.04 malam waktu tempatan pada Isnin.
Pusat gempa bumi di wilayah Hatay berhampiran Antakya, Kirikhan dan Reyhanli merekodkan gegaran 6.4 skala Richter pada jam 8.04 malam waktu tempatan pada Isnin.

Wilayah Hatay yang menempatkan bandar Antakya dan Kirikhan adalah antara lokasi paling teruk terjejas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa dalam kejadian gempa bumi pada 6 Februari lalu.

Sewaktu baru selesai urusan di bilik air berhampiran pintu utama (mencuci muka dan menggosok gigi), secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Sesuatu yang jarang berlaku di Turkiye tanpa sebab-sebab tertentu.

Dalam tempoh itu juga, saya teringatkan kisah-kisah mangsa gempa bumi di negara ini, di mana rata-rata memberi tahu bahawa perkara pertama yang berlaku adalah bekalan elektrik terputus sebelum terjadinya gegaran.

Ketika sedang berdiri, dalam suasana yang gelap gelita, selang lima saat selepas bekalan elektrik terputus, rumah penginapan saya di bandar ini iaitu di tingkat tiga bangunan setinggi lima tingkat bergoncang dengan kuat.

Sehinggakan ketika itu, saya terpaksa memegang dinding untuk menyelamatkan diri. Itu pun masih tidak berjaya untuk berjalan dalam keadaan yang baik ditambah dengan suasana gelap gelita.

Jika sebelum ini gegaran umpama dibuai tetapi kali ini bumi Reyhanli digoncang kuat.

Bacaan pada aplikasi Earthquake Tracker merekodkan gegaran bacaan 6.4 skala Richter yang melanda Reyhanli malam tadi.
Bacaan pada aplikasi Earthquake Tracker merekodkan gegaran bacaan 6.4 skala Richter yang melanda Reyhanli malam tadi.

Sekali lagi saya teringatkan cerita mangsa-mangsa gempa bumi yang terselamat, ketika mereka cuba menyelamatkan diri dalam keadaan yang gelap, dinding, lantai serta siling batu runtuh.

Ketika itu saya merasakan adakah ini pengakhiran saya, adakah saya dapat menjejakkan kaki semula ke Malaysia dan adakah saya dapat bertemu isteri dan anak yang saya tinggalkan atas tuntutan kemanusiaan di negara ini.

Apa yang saya dapat gambarkan ketika itu adalah nyawa seperti di hujung tanduk.

11 orang di dalam kediaman ini, iaitu empat wakil dari pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syria Care dan enam dari pasukan Task Emergency Medical Service (TEMS), keadaannya sama seperti apa yang saya alami.

Mujur kejadian pada Jumaat lalu memberi pengajaran berguna buat kami di mana pada setiap malam kami akan menyiapkan satu beg mengandungi baju sejuk tambahan, baju pemanas, seluar, stoking, air, 'powerbank', passport dan wang.

Jadi kami hanya mencapai beg berkenaan dan terus keluar dalam keadaan yang tidak stabil. Alhamdulillah kesemua kami berjaya menyelamatkan diri dan berkumpul di kawasan lapang.

Ketika berada di bawah, kebanyakan penduduk terutamanya wanita dan kanak-kanak menangis ketakutan, malah ada yang tidak sempat untuk membawa sebarang kelengkapan diri.

Keadaan di jalanan pula sedikit kelam kabut dan kedengaran bunyi siren ambulans dan polis yang dipercayai menuju ke lokasi runtuhan di sini.

Dalam tempoh sejam berada di kawan lapang, kami terpaksa menghidupkan unggun api untuk memanaskan diri. Bahan bakar pula diambil dan dicari termasuklah menggeledah tong sampah, oleh pasukan TEMS yang mahir dalam mendepani situasi bencana seperti ini.

Dewan yang dijadikan pusat perlindungan buat kami di Reyhanli.
Dewan yang dijadikan pusat perlindungan buat kami di Reyhanli.

Mujur sejam selepas itu, kami dibenarkan untuk berlindung di dalam dewan yang dijadikan sebagai pusat perlindungan buat semua penduduk di sini.

Berapa lama di sini? Tidak dapat dipastikan lagi kerana ketika gempa bumi 6 Februari lalu, penduduk di sini memaklumkan bahawa mereka berlindung hampir dua minggu.

Pun begitu, dalam berdepan situasi mencemaskan seperti ini, bantuan rakyat Malaysia untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria akan tetap dilaksanakan.