Mohamed Azmin masih berteka-teki bertanding PRN

Mohamed Azmin ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohamed Azmin ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih berteka-teki sama ada beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang atau sebaliknya.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, parti akan meneliti calon yang layak setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

"Bila DUN dibubarkan sudah pasti parti akan meneliti calon-calon yang akan dikemukakan.

"(Apabila) belum bubar, (bermakna) kita belum lagi menentukan (siapa calon)," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau sebelum itu hadir bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menghadapi proses pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang pengumumannya untuk berehat seketika daripada dunia politik tanah air, beliau meminta agar keputusan tersebut tidak disalah tafsir.

"Jangan tafsir lah seketika itu bila, mungkin satu hari, satu minggu, sebulan.

"Tetapi sebagai ahli parti, saya bertanggungjawab untuk memastikan parti menang dalam enam pilihan raya akan datang," ujar beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu mengumumkan untuk berehat seketika daripada pentas politik dan ingin membuat perancangan baharu.

Beliau bagaimanapun memaklumkan akan terus bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.