Azmin dakwa PH, UMNO takut dengan kekuatan PN

Mohamed Azmin ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohamed Azmin ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan UMNO sedang takut dengan kekuatan Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut menyifatkan pertuduhan kes mahkamah melibatkan pemimpin PN sebagai satu tekanan politik untuk terus melumpuhkan kekuatan gabungan parti itu khususnya Bersatu.

Tegasnya, perkembangan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap mereka terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hari ini dengan jelas menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat presiden UMNO beberapa minggu lalu, membuktikan sudah ada perancangan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.

"Sudah tentulah ini satu lagi bukti ketakutan PH dengan rakan baharu mereka, UMNO melihat dukungan yang begitu kuat dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap PN.

"Kita yakin sekali lagi dalam PRN, rakyat akan memberikan satu lagi isyarat kepada PH dan UMNO kerana mereka tidak menunaikan apa yang dijanjikan dalam pilihan raya yang lalu.

"Sudah hampir tiga bulan tetapi tidak ada sebarang langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan hari ini untuk membantu rakyat," katanya ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau sebelum itu hadir bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menghadapi proses pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN turut mendakwa, usaha yang sedang dilakukan oleh pihak musuh bertujuan untuk menutup kelemahan mereka sendiri.

Ujarnya, kerajaan dilihat telah gagal untuk mentadbir negara dan menguruskan ekonomi dengan lebih efektif khususnya berkaitan isu kos sara hidup.

"Maka untuk menutup kelemahan ini mereka menyerang PN untuk melumpuhkan kita.

"Saya yakin rakyat hari ini cukup matang melihat gelagat PH dan UMNO yang tidak mampu mentadbir sebuah kerajaan dan saya yakin kita akan terus mendapat sokongan yang lebih besar dengan serangan seperti ini insya-Allah," jelasnya.