Tengku Zafrul sahkan sudah beri keterangan kepada SPRM

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Selasa mengesahkan bahawa beliau sudah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Menurut Tengku Zafrul, beliau memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan.

"Saya berjumpa dengan pihak SPRM lewat petang semalam (Isnin) dan akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan.

"Oleh itu, saya mengucapkan terima kasih," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Selasa.

Pada 18 Februari 2023, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengesahkan dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung projek Jana Wibawa dan bukan melibatkan tuduhan penyelewengan berjumlah berbilion seperti dituduh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan projek Jana Wibawa sebelum ini dikendalikan oleh pihak Kementerian Kewangan (MoF) dan setiap kelulusan perlu dibuat menerusi kementerian tersebut, bukannya diputuskan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, MoF mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Ikuti berita berkaitan Jana Wibawa di sini!