[VIDEO] Anwar jamin tak campur kes rasuah Ahmad Zahid

Anwar I - Foto: Bernama
Anwar I - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan mencampuri perbicaraan kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau tidak akan mengganggu proses perbicaraan kes tersebut meskipun ada persepsi bahawa beliau akan berbuat demikian.

"Saya boleh beri jaminan, ia (pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri) tidak menjejaskan prinsip dan dasar termasuk (konsep Malaysia) Madani yang saya perjuangkan," katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang menyuarakan kekhuatiran pelantikan anggota pentadbiran tertinggi yang terpalit kes pecah amanah akan mempengaruhi keputusan perbicaraan mahkamah.

Ahmad Zahid ketika ini masih berdepan dengan perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, beliau berpendirian seseorang individu tidak boleh dihukum hanya berdasarkan pendakwaan kes sebelum penghakiman dibuat.

"Ini telah disebut oleh Yang Berhormat (YB) Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan tegas beliau (berhubung perkara ini) sebelum ini.

"Malah hari ini umpamanya ada YB yang didakwa. Jadi apakah beliau perlu letak jawatan semua kedudukannya dalam parti? Tentunya jawapannya tidak. Jadi begitu juga pendirian saya dalam kes ini," ujarnya.

Menurut Anwar, dalam kes pendakwaan membabitkan pemimpin, beliau telah memaklumkan peguam negara dan ketua hakim negara bahawa negara mesti tegak di atas prinsip hukum negara.

"Saya tidak mahu menghukum sebelum mahkamah (jatuhkan hukuman). Proses mahkamah telus dan bebas," tambah beliau.

Anwar memberitahu, walaupun pelantikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipertikakan namun setakat ini Ahmad Zahid telah melaksanakan tugasnya dengan baik iaitu mematuhi prinsip dan dasar kerajaan.

"Ada satu kes yang dibawa kepada beliau (membabitkan syarikat-syarikat di bawah beliau) mengusulkan beberapa tindakan segera tanpa tender.

"Beliau telah menulis supaya patuh kepada arahan Perdana Menteri dan jemaah menteri. Semua mesti mengikut proses tender. Ini kali pertama saya sebut (dalam Dewan Rakyat). Saya tidak maklum kepada beliau," jelasnya.