Fakulti Komunikasi dan Media UiTM tidak akan digabungkan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak akan digabungkan dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dan Fakulti Sains Informasi (FSI) seperti yang pernah diumumkan Oktober lalu.

Presiden Persatuan Alumni FKPM, Basree Rakijan, dalam kenyataan, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, dalam satu mesyuarat bersama wakil pengurusan tertinggi UiTM dan Persatuan Alumni Masscomm UiTM di Putrajaya, hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Husaini memaklumkan kementerian telah memperhalusi cadangan dan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak, sejak isu penggabungan itu dibawa ke perhatian mereka dan merasakan ia tidak harus dilengahkan lagi.

Katanya, antara yang turut menyertai mesyuarat itu ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Noor Azleen Ambros; Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor; Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Prof Dr Haryani Haron serta Ketua Pengajian Komunikasi dan Media UiTM, Dr Wan Hartini Wan Zainoddin.

Basree, berkata FKPM yang telah ditubuhkan 50 tahun lalu merupakan satu fakulti yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ia perlu diperkasakan lagi terutama di era komunikasi digital yang begitu mencabar ini.

"Alumni akan terus berkerjasama dengan FKPM bagi melaksanakan beberapa program yang telah dikenal pasti demi memastikan jaringan industri-universiti diperkemas dalam usaha melahirkan graduan FKPM yang lebih berwibawa,” katanya.

Basree turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kementerian yang telah memberikan reaksi positif terhadap bantahan yang yang disuarakan persatuan itu, baru-baru ini.

Oktober lalu, Persatuan Alumni Masscomm UiTM membantah penggabungan FKPM dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) untuk menjadi entiti baharu yang dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media. - Bernama