Dewan Rakyat ‘kecoh’ gara-gara Menu Rahmah

Persidangan Dewan Rakyat sesi petang pada Isnin kecoh seketika gara-gara isu Menu Rahmah dibangkitkan. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Persidangan Dewan Rakyat sesi petang pada Isnin kecoh seketika gara-gara isu Menu Rahmah dibangkitkan. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persidangan Dewan Rakyat sesi petang pada Isnin kecoh seketika gara-gara isu Menu Rahmah dibangkitkan.

Kekecohan bermula selepas Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mendakwa Halimah Ali (PN-Kapar) mengeluarkan kenyataan bahawa menu berkenaan boleh memberi risiko kesihatan seperti kanser dan autisme.

Sebelum itu, Sany bangkit ketika Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) membahaskan usul Titah Diraja, dan menyentuh mengenai inisiatif Menu Rahmah yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Jangan jadi macam Kapar (Halimah), dia cemburu, buat cerita tidak betul dengan mendakwa Menu Rahmah ini boleh menyebabkan orang kena kanser dan autisme. Patut Kapar kena tarik (kenyataan) yang bawa fitnah dalam dewan yang mulia ini,” katanya.

Tidak berdiam diri, Halimah bangkit mendakwa kenyataannya itu diambil di luar daripada konteks sebenar.

“Apa yang disebut oleh Hulu Langat itu tidak betul... Cuba tengok hansard, saya tidak ada pun kata Menu Rahmah ini menyebabkan kanser,” katanya.

Keadaan bertambah ‘panas’ selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang turut ‘menyerang’ Sany dengan menuduh beliau tidak faham, selain memintanya 'pergi ke sekolah'.

Halimah sekali lagi bangkit mencelah dengan turut meminta Sany supaya meneliti semula apa yang diperkatakan oleh beliau dengan 'hati yang bersih'.

"Semak betul-betul dan dengar dengan hati yang bersih. Insya-ALLAH jelas," katanya.

Pertikaman lidah yang berlanjutan beberapa minit ini bagaimanapun kembali reda selepas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul meminta semua pihak supaya bertenang bagi membolehkan Azman menghabiskan sesi perbahasannya.