Cadang premis kerajaan pamer Rukun Negara

Mohd Sany
Mohd Sany
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mencadangkan semua premis di bawah kementerian dan agensi kerajaan memaparkan senarai Rukun Negara.

Beliau berkata, Rukun Negara yang menjadi panduan kepada keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini kini dilihat seakan telah diabaikan.

“Sekarang ini seolah-olah kita abaikan, kalau nak tengok Rukun Negara kena pergi ke sekolah, (lihat) dekat dinding sekolah tetapi kadang-kadang cat dinding dah pudar.

“Kedua, kena tengok dekat buku murid sekolah, yang lain kita tak nampak di mana boleh tengok Rukun Negara. Pada saya ia sangat penting, perlu dihadam, ditaklimat, dibahaskan (Rukun Negara) kerana melibatkan amal prinsip negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah ucapan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Dalam pada itu beliau menegaskan, Rukun Negara sangat penting dan perlu dihadam oleh rakyat sekali gus taklimat mengenainya perlu dilakukan sebagai amalan rakyat negara ini.

Terdahulu Shamsulkahar menegaskan, setiap warganegara wajib memahami, menghayati dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara untuk menyemai perpaduan.

Menurutnya, Rukun Negara perlu dijadikan panduan hidup masyarakat majmuk bagi menjamin perpaduan dan kerukunan masyarakat di Malaysia.

“Setiap warganegara Malaysia wajib menghayati, memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini.

“Teras pentadbiran negara selama ini menekankan perpaduan rakyat berbilang kaum dan pembangunan negara di seluruh wilayah sejak mencapai kemerdekaan,” katanya.