Minta SPRM siasat kes pembelian ventilator

Gambar kiri: Muhamad Akmal. Ketua Audit Negara sebelum ini mendedahkan sebanyak 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika pengurusan wabak Covid-19 antara tahun 2020 hingga April 2021 tidak dapat digunakan.
Gambar kiri: Muhamad Akmal. Ketua Audit Negara sebelum ini mendedahkan sebanyak 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika pengurusan wabak Covid-19 antara tahun 2020 hingga April 2021 tidak dapat digunakan.
A
A
A

MELAKA - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat laporan audit negara mengenai ketirisan pembelian ventilator oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti KKM ketika pengurusan wabak Covid-19 bermula tahun 2020 tidak dapat digunakan.

Menurutnya, tidak kira siapa pun yang terlibat waima parti mana sekali pun, sekiranya terbukti bersalah maka tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Pelik bin ajaib, kalau kita beli telur di pasar raya kita dapat resit dan sebagainya untuk bukti pembelian tetapi ini beli ventilator berjuta ringgit nilainya tiada dokumen perolehan langsung?

"Saya mohon pihak kerajaan untuk melihat ketirisan yang mengakibatkan RM13 juta wang rakyat dibazirkan begitu sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Khamis lalu, Laporan Ketua Audit 2021 Siri 2 mendedahkan hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh Pharmaniaga Logistics untuk Kementerian Kesihatan dari 2020 hingga 2022 boleh digunakan.

Kerajaan dilaporkan tidak boleh menuntut RM13 juta yang dibelanjakan terhadap peralatan rosak itu kerana tiada perjanjian ditandatangani dengan Pharmaniaga, kerana perolehan dilakukan bawah "tatacara perolehan darurat."