[VIDEO] Prosiding semakan hari kedua kes SRC babit Najib bermula 10 pagi

Najib
Najib
A
A
A

PUTRJAYA - Prosiding permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 juta di Istana Kehakiman di sini bermula pada jam 10 pagi Isnin.

Bagaimanapun, 20 minit kemudian ia terhenti seketika kerana masalah teknikal, sejurus peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memulakan hujahan.

Masalah teknikal itu berjaya diselesaikan dan prosiding bermula dengan Muhammad Shafee menyambung hujahannya pada jam 10.53 pagi.

Dalam prosiding hari kedua, permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan ini didengar oleh lima panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli; tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Sebelum ini, Najib tiba di mahkamah pada jam 8.25 pagi dengan menaiki kenderaan dari Jabatan Penjara.

Hadir sama dalam prosiding itu ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa penyokong lain.

Najib yang kini berusia 70 tahun sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

Beliau melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 September tahun sama memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.

Beliau memohon mahkamah semakan itu untuk mengemukakan bukti berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.

Mohd Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan, telah menjatuhi hukuman dan denda itu terhadap Najib malah keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

Pemimpin UMNO itu memohon agar rayuannya didengar semula oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan baharu, yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan dalam afidavit jawapan menyatakan, permohonan semakan Najib, tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.