Melaka harap bajet penyuraian trafik, pendidikan

Sulaiman (tengah) ketika bersalaman dengan calon SPM di SMK Bukit Baru di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.
Sulaiman (tengah) ketika bersalaman dengan calon SPM di SMK Bukit Baru di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Melaka berharap peruntukan bagi menangani isu penyuraian trafik dan pendidikan dapat disalurkan kepada kerajaan negeri dalam Belanjawan 2023 yang berlangsung Jumaat ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, langkah itu penting bagi memastikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan dapat menarik lebih ramai pelancong sekiranya kesesakan aliran trafik diberikan perhatian.

Menurutnya, selepas pandemik Covid-19 ramai pelancong yang datang ke Melaka dan beberapa cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.

"Saya harap kali ini bajet itu akan terus, keduanya ada tambahan kepada sistem penyuraian terlalu sesak ketika ini.

"Begitu juga dengan peruntukan sekolah-sekolah seperti Sekolah Sains Muzaffar Syah masalah jalan bercerun dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas meninjau dan beramah mesra dengan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan jaminan bahawa Belanjawan 2023 yang akan dibentang 24 Februari ini akan memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat dan kumpulan masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kandungan Belanjawan 2023 masih diperincikan lagi namun beliau memberi jaminan pentadbiran di bawah pentadbirannya tidak akan meminggirkan mana-mana kumpulan masyarakat.


Seramai 12,907 calon SPM di Melaka

Seramai 12,907 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menduduki peperiksaan itu di 102 pusat peperiksaan yang disediakan di negeri ini bermula Isnin.

Sulaiman berkata, daripada jumlah itu dua calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, seramai 11,037 calon adalah daripada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

"Daripada jumlah itu juga 649 pelajar merupakan calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 23 calon sekolah agama negeri, 221calon sekolah swasta yang berdaftar dan calon persendirian 942," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau suasana peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru di Bukit Beruang, di sini, pada Isnin.

Tambah beliau, seramai 1,235 orang petugas telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar sehingga 15 Mac depan.