Messi pacu kemenangan PSG

Messi menyumbat gol kemenangan ketika membantu PSG menewaskan Lille 4-3. - Foto AFP
Messi menyumbat gol kemenangan ketika membantu PSG menewaskan Lille 4-3. - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN bintang, Lionel Messi menyumbatkan gol penting pada masa kecederaan ketika membantu Paris Saint-Germain (PSG) melakar kemenangan 4-3 ke atas Lille dalam aksi Ligue 1.

Kapten Argentina itu menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-95 yang turut menyaksikan Kylian Mbappe meledak dua gol dan Neymar diusung keluar akibat kecederaan buku lali.

Gol kemenangan saat akhir Messi menamatkan deretan tiga kekalahan PSG dan meletakkan mereka lima mata di depan Marseille, yang menang 3-2 ke atas Toulouse.

"Kami berjaya mengharunginya. Ia bukan aksi terbaik. Kami melakukan banyak kesilapan dan hilang fokus.

"Menentang lawan yang berkualiti, anda akan menerima padah jika berbuat kesilapan.

"Namun kami membuktikan yang kami masih mampu mencari jalan walaupun tidak berada pada tahap terbaik," ujar Mbappe.

Di sebalik kemenangan itu kem PSG diselubungi kebimbangan apabila Neymar mengalami kecederaan di awal babak kedua selepas buku lalinya terseliuh.

PSG bagaimanapun mengesahkan bahawa tiada keretakan pada buku lali pemain Brazil itu.

Bagaimanapun pemeriksaan lanjut perlu dilakukan bagi menilai kecederaan ligamen yang mungkin akan menyebabkan Neymar terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich pada 8 Mac.

Skuad kendalian Christophe Galtier bangkit daripada kekalahan 1-0 kepada Bayern apabila membuka jaringan ke atas Lille menerusi Mbappe.

Ia permulaan pertamanya selepas pulih daripada kecederaan paha.

Neymar kemudian menokok jaringan untuk kedudukan menjadi 2-0, tetapi Bafode Diakite merapatkan jurang untuk Lille di pertengahan babak pertama.

Memasuki lima minit babak kedua Neymar kemudian diusung keluar dan Lille menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Jonathan David.

Jonathan Bamba meletakkan pelawat di depan dan PSG begitu hampir menerima kekalahan keempat sebelum Mbappe menjadi penyelamat.

Mbappe menyempurnakan hantaran Juan Bernat bagi gol penyamaan ketika permainan berbaki tiga minit.

Drama belum berakhir apabila Messi mendapatkan sepakan percuma dan menyempurnakannya selepas dikasari Benjamin Andre.