Tiga beranak maut motosikal langgar lori

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi pada Ahad.
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Hubungan tiga individu yang maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi di sini petang di sini dikenal pasti sebagai anak beranak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mangsa terdiri daripada Mohammad Shahril Abdullah, 38, isterinya, Habsah Jailani, 41 dan anaknya, Muhammad Dany Lukman Naim Abdullah, 10.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian pada jam 4.40 petang itu berlaku ketika motosikal Yamaha 132LC yang ditunggang mangsa dalam perjalanan menuju ke Jalan Tampoi.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang disyaki melanggar bahagian belakang lori Mitsubishi Fuso yang berhenti di lorong tengah semasa lampu isyarat berwarna merah.

"Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut.

"Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.47 petang.

Menurutnya, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Operasi tamat pada jam 5.50 petang dengan kesemua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.