Sediakan bajet gerakkan kempen perangi vape dadah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) mencadangkan kerajaan supaya menyediakan bajet khas bagi menggerakkan kempen perangi vape perisa dadah secara besar-besaran pada tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Raja Azizan Suhaimi berkata, sudah sampai waktunya kerajaan memandang lebih serius berhubung masalah vape tidak berdaftar yang semakin menular di kalangan pelajar sekolah melibatkan perisa dadah.

Ujarnya, vape tersebut menyukarkan pihak berwajib melaksanakan aktiviti penguatkuasaan kerana tiadanya perundangan yang jelas dan nyata mengenainya.

“Kejayaan kempen ini di negara Singapura telah menyaksikan penurunan secara mendadak kes penagihan baru atau berulang penggunaan bahan terlarang dalam kalangan etnik Melayu.

“Kejayaan kempen ini di negara jiran boleh dilaksanakan di negara ini dan dipercayai memberikan impak positif dalam usaha mencegah peningkatan bilangan pengguna baharu bahan terlarang atau pengguna bahan terlarang berulang pada tahun ini dan seterusnya.

“Kempen ini juga mampu menembusi kawasan akar umbi termasuk kawasan ladang di Felda, Felcra, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perkampungan nelayan di seluruh negara yang sering menjadi sasaran sebilangan besar tokan dadah untuk tujuan jualan bahan larangan seperti dadah dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Raja Azizan berkata, MASAC sebagai badan berkepentingan dalam permasalahan itu bersedia membantu kerajaan bagi merealisasikan usaha berkenaan.

“MASAC juga bersedia menjadi rakan strategik kerajaan dari sudut pengalaman dan jaringan bersama puluhan ribu bekas pengguna bahan terlarang termasuk yang tiada rekod hukuman atau tangkapan jenayah bahan terlarang yang bersama MASAC untuk merealisasikan idea-idea ini.

“Namun, pastinya sedikit pengumuman bajet khas kepada MASAC dan dipantau penggunaan dana tahunan ini kepada MASAC oleh Jabatan Audit Negara (JAN) mampu memberikan sumber yang diperlukan untuk bersama Kerajaan Madani kini berusaha menangani permasalahan penggunaan bahan terlarang oleh bukan sahaja rakyat Malaysia malahan pekerja asing yang ada di negara ini,” ujarnya.

Tambahnya, MASAC turut mempelawa orang ramai untuk menghubungi Helpline di talian 017-3226380 yang beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang untuk mendapatkan pelbagai maklumat serta bantuan lanjut tentang salah guna bahan terlarang di Malaysia.