Identiti mayat ditemukan di Pantai Lagenda dikenal pasti

Mayat yang terdampar di Pantai Lagenda telah dikenal pasti oleh polis
Mayat yang terdampar di Pantai Lagenda telah dikenal pasti oleh polis
A
A
A

PEKAN - Identiti mayat lelaki yang ditemukan di Pantai Lagenda, Isnin lalu sudah dikenal pasti, namun tidak dapat mengaitkan dengan kejadian seorang individu yang dilaporkan terjun dari jambatan Tanjung Lumpur pada 10 Februari lalu.

Ketua Polis daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat lelaki berusia 49 tahun ini telah melalui proses pengecaman oleh waris dan alamat terakhirnya di Johor Baharu.

Menurutnya, pengecaman itu dapat dibuat selepas menemui telefon bimbit bersama mayat yang masih lengkap berpakaian.

"Kita membuat pemeriksaan dan mendapati sim kad pada telefon berkenaan masih aktif. Susulan itu, kita berjaya menghubungi waris lelaki berkenaan yang telah hadir ke Jabatan Forensik Hospital Pekan, di sini, untuk proses pengecaman pada 16 Februari lalu.

"Waris turut memaklumkan lelaki terbabit tinggal di luar Pahang dan kali terakhir mereka berhubung pada 10 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mohd Zaidi menjelaskan, tiada unsur jenayah ditemui ketika siasatan dilakukan dan mayat diserahkan kepada waris serta kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Pada 13 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang lelaki lengkap berbaju t-shirt merah dan ungu dan berseluar jeans biru ditemui orang awam di Pantai Lagenda kira-kira jam 8 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Kuantan, Asistan Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Tanjung Lumpur dihentikan pada 12 Februari lalu.

“Pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk selepas tiga hari operasi dilakukan selain tidak menerima sebarang laporan orang hilang setakat ini,” katanya ketika ditanya mengenai kaitan kejadian itu dengan mayat lelaki yang ditemui di Pantai Lagenda.

Pada 10 Februari lalu, seorang penunggang motosikal dan beberapa pemancing mendakwa melihat seorang lelaki berusia lingkungan 40-an terjun dari Jambatan Tanjung Lumpur sebelum tenggelam di Sungai Kuantan.