Ubah suai tangki minyak kereta, seludup petrol

Azman menunjukkan kereta yang diubah suai untuk tujuan penyeludupan petrol. - Foto Ihsan KPDN
Azman menunjukkan kereta yang diubah suai untuk tujuan penyeludupan petrol. - Foto Ihsan KPDN
A
A
A

KOTA BHARU - Pegawai Penguatkuasa KPDN Kelantan pada Ahad menumpaskan aktiviti penyeludupan kira-kira 150 liter petrol disyaki tanpa kebenaran sah.

Rampasan dibuat berhampiran sebuah kedai kek di tepi Jalan Besar, di Tumpat melalui Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan kira-kira jam 10 pagi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, petrol berkenaan dimuatkan dalam sebuah kereta.

"Sebelum itu sepasukan penguat kuasa mengesan pergerakan sebuah kenderaan disyaki selesai melakukan pembelian di sebuah stesen minyak di Terbok, Tumpat menuju ke bandar Tumpat," katanya di sini.

Petrol yang dimuatkan di dalam kereta untuk tujuan penyeludupan. - Foto Ihsan KPDN
Petrol yang dimuatkan di dalam kereta untuk tujuan penyeludupan. - Foto Ihsan KPDN

Menurut beliau, pergerakan mencurigakan pemandu menyebabkan pasukan penguat kuasa mengekori kenderaan itu.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemui muatan petrol dianggarkan bernilai RM307.50.

Azman memberitahu, turut disita sebuah Proton Iswara Aeroback yang diubah suai tangki dianggarkan kira-kira RM6,000 dan kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 196.

Bagaimanapun Azman berkata, sebelum itu suspek yang menyedari diekori sejauh 500 meter selama 10 minit bertindak melarikan diri.

"KPDN Kelantan memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti tidak bermoral ini dengan dan bakal berdepan tindakan tegas," katanya.