PRN: Gerakan buat persediaan rapi, tunggu senarai nama calon

Dominic
Dominic
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menegaskan pihaknya sedang membuat persediaan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan jangkaan pembubarannya akan berlaku pada Mei dan Jun ini.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, arahan telah diberikan kepada pengerusi-pengerusi negeri yang terlibat menghantar senarai nama untuk dicalonkan pada PRN terbabit.

"Pengerusi negeri mesti hantar nama bakal calon itu selewat-lewatnya 28 Februari ini kepada pusat untuk membuat tapisan dan penilaian.

"Selepas itu bakal calon ini akan diberikan latihan yang progresif bermula bulan March sehingga Mei sebagai persediaan untuk menghadapi PRN," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Gerakan turut membuat keputusan melantik Speaker Gerakan, Datuk Dr. Asharuddin Ahmad selaku Pengerusi Pemilihan Calon dan Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee sebagai Ketua Pengarah PRN.

Pada masa sama, beliau berkata, negeri-negeri yang tidak terlibat diberi tanggungjawab untuk membantu negeri-negeri yang akan bertanding pada PRN akan datang.

"Contohnya Pahang akan membantu Kelantan dan Terengganu. Sebelah utara Pulau Pinang dibantu Perak manakala Melaka akan bantu Kedah, Wilayah Persekutuan akan bantu Selangor. Sebelah Selatan Negeri Sembilan akan dibantu Johor," jelasnya.

Selain itu, Dominic menambah, bekas-bekas calon Pilihan Raya Umum dan PRN Melaka serta Johor akan turut dipertanggungjawabkan untuk membantu negeri-negeri yang terlibat.