Arsenal cemas sebelum menang

Martinelli (kanan) melengkapkan kemenangan Arsenal 4-2 ke atas Villa dalam saingan EPL. - Foto EPA
Martinelli (kanan) melengkapkan kemenangan Arsenal 4-2 ke atas Villa dalam saingan EPL. - Foto EPA
A
A
A

ARSENAL kembali ke landasan terbaik untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah kali terakhir memenanginya 19 tahun lalu.

The Gunners yang dilatih Mikel Arteta merampas carta liga selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menang 4-2 di Aston Villa manakala Manchester City seri 1-1 di Nottingham Forest.

Hanya tiga hari selepas menyerahkan kedudukan teratas buat pertama kali setelah kalah 3-1 kepada City, Arsenal bangkit dalam kelas tersendiri untuk kembali dua mata di depan juara bertahan itu.

"Kami kembali dengan lebih rasa percaya berbanding sebelum ini kerana anda sudah menukar persembahan kepada keputusan yang lebih baik," ujar Arteta.

Dalam aksi di Villa Park itu, The Gunners berdepan detik cemas sebelum menang dalam usaha mereka meraih gelaran pertama sejak 2004.

Mereka hampir terlepas tiga mata berharga ketika perlawanan berbaki satu minit pada masa sebenar permainan.

Arsenal dua kali ketinggalan hasil jaringan Ollie Watkins dan Philippe Coutinho, namun Bukayo Saka dan Oleksandr Zinchenko kembali menyamakan kedudukan.

Dalam masa tambahan, The Gunners mendapat 'ihsan' daripada bekas penjaga gol mereka apabila bola terkena Emiliano Martinez.

Bola kemudian masuk ke gawang sendiri secara tidak sengaja selepas sepakan Jorginho terkena palang.

Gabriel Martinelli melengkapkan kemenangan Arsenal apabila menyepak ke gawang yang ditinggalkan kosong selepas Martinez terperangkap di atas setelah sepakan penjuru Villa.

"Pasukan menunjukkan kualiti yang beremosi yang amat kami perlukan. Saya sangat gembira," ujar Arteta.