McDonald’s Malaysia bantu rakyat Kelantan

Belia yang mengikuti program perantis McDonald’s menerima pentauliahan hari ini.
Belia yang mengikuti program perantis McDonald’s menerima pentauliahan hari ini.
A
A
A
KOTA BHARU - Sebanyak RM484,100 disumbangkan McDonald’s Malaysia melibatkan pelbagai inisiatif bagi membantu kumpulan kurang bernasib baik termasuk miskin tegar di Kelantan.

Pengarah Kanan Sumber Manusianya, Azhar Darbi berkata, perbelanjaan tersebut adalah termasuk zakat, pelantikan belia asnaf ke program perantis McDonald’s dan sumbangan barangan keperluan sekolah.

Menurutnya, inisiatif kemasyarakatan tersebut dilaksanakan secara berterusan untuk bersama-sama meringankan beban golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

“Keprihatinan McDonald’s bukan sahaja memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan mahupun material tetapi kami turut memberikan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf.

“Menerusi program perantisan McDonald’s ini belia asnaf di Kelantan menjalani latihan praktikal dan pembelajaran teori selama 18 bulan. Sebaik tamat mereka akan bekerja dengan kami dan diberikan pendedahan lanjut untuk menjadikan mereka pengurus,” katanya kepada media hari ini.
Artikel Berkaitan:


Beliau ditemui sempena program Komuniti McDonald’s Malaysia 2018 peringkat Kelantan yang dihadiri Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat.

Pada majlis sama selain penyerahan zakat perniagaan kepada Maik, McDonald’s juga menyampaikan pek persekolahan kepada sebahagian 841 kanak-kanak sekolah rendah dan penyerahan tauliah Skim Latihan Dual Nasional kepada enam belia asnaf.

Dalam pada itu, Azhar berkata, sehingga tahun 2025 pihaknya mensasarkan pertambahan 10,000 peluang pekerjaan di McDonald’s seluruh negara.