Bilionair China, Bao Fan hilang

Bao Fan - Foto Reuters
Bao Fan - Foto Reuters
A
A
A

Beijing - Bilionair yang juga tokoh besar dalam industri teknologi China, Bao Fan dilaporkan hilang, kata bank pelaburan China, China Renaissance ketika saham dalam syarikat menjunam di Hong Kong, pada Jumaat.

Bao Fan yang juga pengerusi dan pengarah eksekutif syarikat perbankan itu memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pelbagai syarikat pemula internet domestik.

"Syarikat tidak dapat menghubungi Encik Bao," kata China Renaissance dalam satu pengumuman kepada Bursa Saham Hong Kong pada Khamis, tanpa memberikan butiran lanjut.

Saham dalam syarikat itu merosot sebanyak 50 peratus pada satu masa susulan kenyataan itu, sebelum meningkat pada sekitar penurunan 30 peratus.

Saluran berita kewangan Caixin melaporkan, hartawan berusia 52 tahun itu tidak dapat dihubungi selama dua hari pada petang Khamis.

China Renaissance tidak dapat memberikan komen segera selepas dihubungi AFP.

Kehilangan Bao kini menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan pembaharuan dalam tindakan keras ke atas industri kewangan China ketika Presiden Xi Jinping tegas dalam komitmennya memerangi rasuah.

Penganalisis kanan di Forsyth Barr Asia, Willer Chen, memberitahu Bloomberg, kehilangan berterusan eksekutif itu 'boleh menjadi ketergantungan jangka panjang terhadap saham, memandangkan Bao adalah orang penting bagi syarikat itu'.

Jurucakap kementerian luar China, Wang Wenbin, berkata beliau 'tidak mengetahui maklumat berkaitan' apabila ditanya mengenai kehilangan Bao.

"Bagaimanapun, saya boleh memberitahu anda yang China adalah sebuah negara di bawah kedaulatan undang-undang.

"Kerajaan China melindungi hak rakyatnya yang sah mengikut undang-undang," katanya.

China Renaissance yang diasaskan pada 2005 berkembang menjadi sebuah institusi kewangan global dengan lebih 700 pekerja dan mempunyai pejabat di Beijing, Shanghai, Hong Kong, Singapura dan New York. - AFP