Agong yakin hubungan Malaysia, Jerman berkembang progresif

Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier pada Majlis Santapan Malam sempena Lawatan Negara oleh Presiden Jerman ke Malaysia di Istana Negara malam Jumaat. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier pada Majlis Santapan Malam sempena Lawatan Negara oleh Presiden Jerman ke Malaysia di Istana Negara malam Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan keyakinan bahawa hubungan Malaysia dan Jerman akan berkembang dengan progresif pada tahun-tahun yang akan datang.

Dalam titah Seri Paduka Baginda pada santapan negara bagi meraikan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier dan isterinya yang dalam lawatan negara ke Malaysia, Al-Sultan Abdullah berharap lawatan bersejarah Steinmeier itu akan membuka peluang baharu untuk kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara.

"Lawatan anda (Steinmeier) ke Malaysia menandakan hubungan yang lebih mendalam antara negara kita. Beta yakin persahabatan yang amat kami hargai ini, akan terus erat dan berkembang maju,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sehingga hari ini, hubungan Malaysia dan Jerman semakin rapat berbanding sebelum ini, berikutan hubungan mesra dan kerjasama.

Titah Seri Paduka, Malaysia dan Jerman telah bersama-sama dalam pelbagai projek yang membolehkan kedua-dua negara berkembang dan maju.

"Ini termasuklah projek dalam industri permotoran, bioteknologi, farmasi, tenaga diperbaharui, teknologi maklumat, pendidikan dan pelbagai bidang lain, yang sedang dilaksanakan.

"Sememangnya Malaysia dan Jerman telah menikmati hubungan yang saling menguntungkan selama 66 tahun, sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1957,” titah Seri Paduka.

Turut hadir pada majlis santapan yang dihoskan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Terdahulu Steinmeier telah mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan kerjasama dua hala antara kedua negara.

Steinmeier disambut Anwar di Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 5.15 petang.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan lawatan Steinmeier itu akan memberikan peluang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara kedua negara.

Lawatan negara terakhir melibatkan presiden Jerman ke Malaysia ialah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU). Pada 2022, nilai perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus berjumlah RM59.87 bilion berbanding RM53.99 bilion (AS$13.03 bilion) pada 2021. - Bernama